TOKYO: Jumlah penduduk Jepun yang berusia 100 tahun dan ke atas telah melepasi angka 100,000 buat kali pertama dalam sejarah negara itu, menurut Kementerian Kesihatan Jepun.
Data terkini menunjukkan Jepun kini mempunyai 107,677 warga berusia sekurang-kurangnya 100 tahun, sekali gus menjadikannya negara dengan jumlah centenarian tertinggi di dunia. Daripada jumlah itu, kira-kira 88 peratus adalah wanita.
Wanita tertua di Jepun ialah Kishimoto Fuyo, 114, dari Bandar Kyoto, manakala lelaki tertua ialah Kato Hikaru, 112, dari Kumamoto.
Menteri Kesihatan Jepun, Kenichiro Ueno berkata, beliau gembira melihat lebih ramai rakyat negara itu dapat menikmati kehidupan yang panjang, sihat dan aktif, hasil kemajuan dalam bidang perubatan dan teknologi.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan mengenai cabaran besar yang perlu ditangani kerajaan dalam memastikan sistem keselamatan sosial negara kekal mampan pada masa hadapan.
Pakar menyifatkan jangka hayat tinggi rakyat Jepun berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.
Diet tradisional negara itu banyak terdiri daripada ikan, sayur-sayuran dan nasi, selain kandungan lemak tepu yang lebih rendah berbanding kebanyakan diet Barat.
Golongan warga emas di Jepun juga masih aktif dengan berjalan kaki, menggunakan pengangkutan awam, berbasikal serta melakukan senaman regangan secara berkala.
Fenomena penuaan penduduk bukan perkara baharu di Jepun. Malah, jualan lampin dewasa di negara itu telah mengatasi jualan lampin bayi selama lebih sedekad.
Pelbagai syarikat turut membangunkan produk khusus untuk golongan warga emas, termasuk rangka luar berkuasa (powered exoskeleton) yang membantu pergerakan anggota badan serta cermin mata pintar yang boleh melaras fokus secara automatik.
Dalam masa sama, Jepun terus berdepan krisis demografi apabila kadar kesuburan negara itu merosot ke paras terendah rekod iaitu 1.14 anak bagi setiap wanita tahun lalu, jauh di bawah kadar penggantian populasi sebanyak 2.1 anak bagi setiap wanita.
Menurut Institut Penyelidikan Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan Jepun, jumlah penduduk negara itu dijangka susut kepada 87 juta menjelang 2070, iaitu penurunan sekitar 30 peratus berbanding kemuncaknya sebanyak 128 juta penduduk pada 2008.
Ketika ini, individu berusia 65 tahun dan ke atas mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk Jepun dan angka itu dijangka meningkat hampir 40 peratus menjelang 2070.
Pihak berkuasa Jepun sebelum ini menyifatkan trend tersebut sebagai "krisis kewujudan negara", manakala Perdana Menteri, Sanae Takichi, menggelarnya sebagai "darurat senyap".
Pada 2025, jumlah penduduk menurun di 45 daripada 47 wilayah pentadbiran Jepun, dengan kadar penyusutan penduduk terus menunjukkan peningkatan.
Walaupun kerajaan menawarkan pelbagai insentif dan subsidi bagi menggalakkan golongan muda berkeluarga dan mempunyai lebih ramai anak, usaha itu setakat ini masih belum berjaya meningkatkan kadar kelahiran.
Pakar berpendapat, faktor penyumbang kepada kemerosotan kadar kelahiran adalah kompleks, termasuk penurunan kadar perkahwinan, peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja serta kos membesarkan anak yang semakin tinggi.
Jepun juga mencatat peningkatan kemasukan pendatang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, warga asing hanya mewakili kira-kira tiga peratus daripada populasi negara itu, manakala tentangan terhadap dasar menerima lebih ramai pendatang juga semakin meningkat.
Sejak tinjauan centenarian negara itu dimulakan pada 1963, hanya 153 individu direkodkan berusia 100 tahun dan ke atas. Jumlah itu meningkat kepada 1,000 orang pada 1981 sebelum mencecah 10,000 orang pada 1998.
Angka terbaharu itu diumumkan menjelang sambutan tahunan "Hari Menghormati Warga Emas" di Jepun, yang menyaksikan kerajaan memberi surat penghargaan peribadi dan cawan sake tradisional kepada rakyat yang mencapai usia 100 tahun.
Namun, ketepatan data populasi warga berusia lebih 100 tahun itu pernah dipersoalkan. Kajian terdahulu mendapati kesilapan data, rekod awam yang tidak lengkap dan kehilangan sijil kelahiran berkemungkinan menyumbang kepada angka yang lebih tinggi daripada jumlah sebenar.
Pada 2010, audit kerajaan terhadap daftar keluarga mendedahkan lebih 230,000 individu yang disenaraikan berusia 100 tahun ke atas tidak dapat dikesan, termasuk sebahagian yang sebenarnya telah meninggal dunia beberapa dekad lebih awal.
Kesilapan itu dikaitkan dengan kelemahan sistem penyimpanan rekod, selain wujud syak wasangka bahawa sesetengah keluarga menyembunyikan kematian ahli keluarga warga emas bagi terus menerima bayaran pencen.