Skip to main content

Malaysia

Universiti tidak wajar hukum pelajar kerana bebas bersuara - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid pada Program Apa Khabar Siswa di UiTM Kampus Alor Gajah, hari ini. Hadir sama Zambry. - Gambar Astro AWANI
Ahmad Zahid pada Program Apa Khabar Siswa di UiTM Kampus Alor Gajah, hari ini. Hadir sama Zambry. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

MELAKA: Institusi pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya mengenakan tindakan disiplin terhadap pelajar hanya kerana menyuarakan pendapat atau berbeza pegangan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pandangan mahasiswa perlu diraikan dan tidak seharusnya menjadi alasan untuk pihak universiti mengambil tindakan perundangan terhadap mereka.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tertakluk kepada batas undang-undang, termasuk tidak menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Advertisement

“Kalau hanya berbeza pendapat dan mereka menyuarakan pendapat anak-anak muda, saya fikir pendapat itu harus diraikan, bukan dengan mengambil tindakan perundangan terhadap mereka.

“Selain daripada itu, kalau berbeza pendapat dan pegangan politik, saya fikir tidak harus diambil sebarang tindakan disiplin oleh pihak universiti,” katanya ketika ditemui selepas Program Apa Khabar Siswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, di sini pada Selasa.

Advertisement

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.  

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, cadangan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dengan undang-undang baharu sedang dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

Katanya, undang-undang baharu itu, dengan nama berbeza dijangka memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan tadbir urus universiti, termasuk pengurusan akademik, pemilihan anggota senat serta pelantikan naib canselor dan timbalan naib canselor.

Beliau menjelaskan, perundangan baharu itu tidak lagi tertumpu kepada sekatan terhadap aktiviti pelajar.

“Ia tidak lagi menjurus kepada apa yang disebutkan sebagai tujuh perkara daripada 40 perkara yang hanya untuk menyekat kemaraan pelajar dalam aktiviti mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berharap UiTM dapat mewujudkan Jabatan Teknologi Kuantum sebagai langkah awal memperkukuh penguasaan negara dalam bidang teknologi berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif itu berpotensi dikembangkan kepada penubuhan Fakulti Teknologi Kuantum pada masa hadapan.

Menurutnya, UiTM dipilih sebagai institusi perintis berikutan mempunyai rangkaian kampus di seluruh negara serta jumlah pelajar yang ramai.

“Teknologi kuantum adalah satu teknologi yang lebih maju berbanding AI (kecerdasan buatan). Mudah-mudahan dengan wujudnya jabatan ini, akhirnya sebuah Fakulti Teknologi Kuantum dapat diwujudkan di UiTM supaya negara kita bersedia untuk perubahan teknologi berkenaan.

“Pada hemat saya, kita tidak harus ketinggalan dalam pembangunan teknologi baharu, terutama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Katanya lagi, pensyarah yang mempunyai latar belakang teknologi maklumat (IT) dan digital akan dilatih untuk menjadi peneraju kepada penubuhan jabatan dan fakulti berkenaan.

Pada 4 Oktober lalu, Ahmad Zahid berkata, peruntukan awal sebanyak RM500,000 akan disalurkan kepada UiTM bagi memulakan langkah awal penubuhan jabatan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement