Skip to main content

Malaysia

Lelaki hilang di Sungai Ketereh ditemukan lemas

Operasi SAR yang dimulakan pada hari kejadian membabitkan anggota BBP Ketereh, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Anjing Pengesan (K9) dan polis.
Operasi SAR yang dimulakan pada hari kejadian membabitkan anggota BBP Ketereh, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Anjing Pengesan (K9) dan polis.
Advertisement

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Tokong, Jalan Kuala Kemubu, Ketereh, di sini Ahad lepas, ditemukan lemas hari ini.

Mayat Mohd Akbar Che Abdullah, 35, ditemukan orang awam yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 8.30 pagi pada jarak 15 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh Ahmad Fakaruddin Berahim berkata pihaknya bergegas ke lokasi berkenaan sejurus dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu.

Advertisement

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis pada 10.17 pagi manakala operasi SAR tamat sepenuhnya pada 10.21 pagi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Ahad lepas, lelaki yang bekerja di tapak mengorek pasir itu dipercayai mengalami kekejangan kaki sebelum terjatuh dalam sungai.

Advertisement

Operasi SAR yang dimulakan pada hari kejadian membabitkan anggota BBP Ketereh, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Anjing Pengesan (K9) dan polis.

Pada hari pertama, pasukan penyelamat melakukan pencarian di tebing dan permukaan sungai, selain menjalankan operasi selaman di lokasi lelaki itu dipercayai terjatuh, namun tidak berhasil menemukannya.

Ahmad Fakaruddin berkata usaha berkenaan diteruskan semalam dengan pencarian di permukaan sungai sejauh kira-kira 10 kilometer mengikut aliran sungai, dibantu Unit K9 serta bot penduduk kampung.

Pencarian hari ketiga hari ini dilakukan dengan bantuan anggota PPDA dari Pengkalan Chepa sebelum orang awam menemukan mangsa pagi ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement