Skip to main content

Dunia

New York rekod kematian pertama akibat campak dalam tempoh 30 tahun

Gabenor Kathy Hochul menyifatkan kematian itu sebagai amat menyedihkan dan mengkritik pendekatan kerajaan AS terhadap vaksinasi.
Gabenor Kathy Hochul menyifatkan kematian itu sebagai amat menyedihkan dan mengkritik pendekatan kerajaan AS terhadap vaksinasi.
Advertisement

WASHINGTON: Seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat campak di negeri New York, Amerika Syarikat (AS), menandakan kematian pertama di negeri itu akibat penyakit yang sangat mudah berjangkit berkenaan dalam tempoh 30 tahun, menurut Gabenor Kathy Hochul, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kanak-kanak itu meninggal dunia di Kaunti Lewis selepas dijangkiti campak, kata Hochul dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menyifatkan kematian itu sebagai amat menyedihkan dan mengkritik pendekatan kerajaan AS terhadap vaksinasi, sambil berkata kemajuan selama beberapa dekad dalam usaha mencegah penyakit berjangkit kini berisiko terjejas.

Advertisement

Pegawai kesihatan New York menggesa penduduk menyemak status vaksinasi masing-masing, sambil memaklumkan bahawa gabungan vaksin bagi campak, beguk dan rubela (MMR) menawarkan perlindungan terbaik.

Hochul mengisytiharkan keadaan darurat pada awal Oktober susulan penularan wabak campak, khususnya di kawasan luar bandar, bagi membolehkan lebih ramai profesional penjagaan kesihatan diberi kuasa untuk memberikan vaksin.

Advertisement

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), AS merekodkan 4,852 kes campak yang disahkan setakat akhir Oktober, lebih dua kali ganda berbanding jumlah keseluruhan kes bagi 2025.

Sebanyak tiga kematian dilaporkan setakat tarikh berkenaan.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement