Skip to main content

Malaysia

SPACE UTM pupuk amalan lestari di Tanjong Karang

Warga SPACE UTM dan penduduk setempat bergambar sempena Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026 di Kampung Sungai Kajang. - Gambar UTM
Warga SPACE UTM dan penduduk setempat bergambar sempena Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026 di Kampung Sungai Kajang. - Gambar UTM
Advertisement

TANJONG KARANG: Seramai 211 peserta daripada universiti, sekolah dan komuniti setempat menyertai Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026, anjuran bersama Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) UTM dan Sekretariat Rakan Muda UTM Kuala Lumpur.

Pengarah program yang juga Pengurus Kelestarian SPACE UTM, Ts Dr Salina Sadeli berkata, program itu bertujuan membudayakan amalan lestari dalam kalangan pelajar dan penduduk melalui pembelajaran secara praktikal serta kegiatan sukarela.

Menurutnya, penglibatan dalam kerja sukarela dan perkongsian ilmu memberi ruang kepada pelajar mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan sosial, di samping mengukuhkan kerjasama antara universiti, komuniti dan industri.

Advertisement

Program pada 30 dan 31 Oktober 2026 di Kampung Sungai Kajang itu melibatkan 20 kakitangan dan 21 pelajar SPACE UTM, 70 peserta dalam kalangan murid dan guru serta 100 penduduk setempat.

Sebanyak 10 aktiviti utama dijalankan, antaranya pertandingan diorama inovasi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) hijau serta bengkel penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran.

Advertisement

Di Pantai Kampung Sungai Kajang, peserta mengutip sampah sambil beriadah dan menanam 20 anak pokok bakau daripada spesies Rhizophora mucronata.

Demonstrasi hidroponik berkuasa solar pula memperkenalkan kepada peserta cara tenaga boleh baharu digunakan dalam penanaman tanpa tanah.

Image
UTM SPACE TANJONG KARANG INSERT
Peserta mendengar penerangan sebelum menanam 20 anak pokok bakau daripada spesies Rhizophora mucronata di Pantai Kampung Sungai Kajang. - Gmbr UTM

Set hidroponik berkenaan turut disumbangkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa dan Surau Nurhidayah supaya murid dan penduduk dapat meneruskan pembelajaran secara praktikal selepas program.

Peserta turut bergotong-royong membersihkan surau, mengikuti ceramah kelestarian dan sesi sembang santai bersama komuniti, serta menyertai senamrobik dan sukan rakyat.

Anyaman ketupat, boling kelapa, congkak dan kesenian cempuling diketengahkan untuk menggalakkan perkongsian warisan antara generasi, manakala lawatan ke perusahaan tapai dan kopi memperkenalkan peserta kepada kegiatan ekonomi setempat.

Menurut SPACE UTM, program itu menyokong 12 daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk pendidikan berkualiti, tenaga bersih dan pemuliharaan biodiversiti.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kajang, Jawatankuasa Surau Nurhidayah dan SMK Seri Desa.

Turut hadir Dekan SPACE UTM, Profesor Madya Dr Kamaludin Mohamad Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM yang turut menjalankan tugas Timbalan Dekan (Pembangunan), Ts Nik Maria Nik Mahamood; serta Pengerusi JPKK Kampung Sungai Kajang, Hasim Ismail.

Image
UTM SPACE TANJONG KARANG INSERT
Murid dan guru SMK Seri Desa bergambar bersama pasukan SPACE UTM sempena Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026. - Gambar UTM

Must Watch Video

Advertisement