TOKYO: Jepun pada Rabu menguatkuasakan undang-undang yang mengetatkan peraturan penggunaan dron dengan meluaskan zon larangan terbang bagi pesawat tanpa pemandu daripada kira-kira 300 meter di sekitar kemudahan penting yang ditetapkan kepada kira-kira 1,000 meter, sebagai sebahagian daripada langkah antikeganasan, lapor Kyodo News.
Walaupun kawasan khusus yang akan terlibat masih belum didedahkan, banyak kemudahan di daerah Chiyoda dan Minato di Tokyo dijangka termasuk dalam zon berkenaan, antaranya Istana Maharaja, Pejabat Perdana Menteri dan Kedutaan Amerika Syarikat, dengan sebahagian zon larangan terbang berkemungkinan melangkaui satu kilometer bergantung pada keadaan geografi.
Menerbangkan dron dalam "zon kuning" atau zon larangan terbang boleh dikenakan hukuman serta-merta sehingga enam bulan penjara atau denda maksimum 500,000 yen (AS$3,120).
Pada masa ini, pihak berkuasa hanya boleh mengambil tindakan serta-merta apabila dron diterbangkan secara langsung di atas kemudahan penting yang ditetapkan, yang dikenali sebagai "zon merah".
Di bawah peraturan baharu itu, kemudahan tertentu akan ditetapkan sebagai kawasan larangan untuk tempoh terhad apabila digunakan bagi majlis rasmi dan acara lain yang dihadiri Perdana Menteri, Maharaja atau pemimpin asing.
Menurut laporan yang dikeluarkan Agensi Polis Kebangsaan pada Disember, dron yang mampu terbang pada kelajuan sekitar 50 kilometer sejam ketika undang-undang itu diperkenalkan pada 2016 kini boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 80 kilometer sejam, manakala sesetengah model buatan luar negara mampu mencecah 150 kilometer sejam.
Jarak penghantaran rakaman video oleh dron juga meningkat kepada maksimum 10 kilometer berbanding hanya antara 200 hingga 300 meter sebelum ini.
Kapasiti muatannya turut meningkat daripada antara 80 gram dan lima kilogram kepada sehingga 30 kilogram.
Bagi mengelakkan penggunaan dron terjejas, kerajaan akan memaparkan kawasan larangan itu dalam peta dalam talian Pihak Berkuasa Maklumat Geospatial Jepun serta bekerjasama dengan pengedar dron untuk meningkatkan kesedaran mengenai peraturan berkenaan.
-- BERNAMA-KYODO