Skip to main content
Advertisement

Dunia

Jepun kurangkan cukai penggunaan ke atas makanan kepada satu peratus mulai April 2027

Japan's Prime Minister Sanae Takaichi speaks to media after holding phone talks with Iran's President Masoud Pezeshkian at her official residence in Tokyo, Japan April 8, 2026, in this photo taken by Kyodo. Mandatory credit Kyodo/via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. JAPAN OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN JAPAN.
Takaichi berkata kerajaan Jepun akan mendapatkan dana yang diperlukan menerusi "pembaharuan" fiskal dan "tanpa menerbitkan bon bagi membiayai defisit". - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

TOKYO: Perdana Menteri Sanae Takaichi pada Khamis mengumumkan Jepun akan mengurangkan kadar cukai penggunaan bagi makanan dan minuman kepada satu peratus daripada lapan peratus ketika ini untuk tempoh dua tahun bermula April tahun depan, sekali gus menjadi pengurangan pertama sejak sistem itu diperkenalkan pada 1989, lapor Kyodo News.

Pengurangan cukai itu akan disertakan dengan pemberian tunai kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana bagi "mengurangkan beban cukai secara berkesan kepada sifar", yang merupakan "pilihan terbaik" untuk membantu isi rumah yang bergelut dengan kenaikan harga, menurut Takaichi pada sidang media di pejabatnya.

Rancangan itu diumumkan lebih awal pada hari yang sama dalam mesyuarat barisan kepimpinan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang dipengerusikan Takaichi, yang mengarahkan pegawai kanan parti mendapatkan sokongan LDP dan membuka laluan kepada kelulusan Kabinet menjelang awal bulan depan.

Ketika hasil bon kerajaan sudah berada pada paras tinggi dan nilai yen yang lemah, langkah pengurangan cukai itu boleh meningkatkan lagi kebimbangan terhadap kedudukan fiskal Jepun memandangkan langkah berkenaan akan mewujudkan kekurangan besar dalam pembiayaan keselamatan sosial, dengan kehilangan hasil cukai dianggarkan mencecah kira-kira 10 trilion yen (US$61 bilion) dalam tempoh dua tahun.

Takaichi masih belum mengenal pasti sumber hasil khusus untuk mengimbangi pengurangan cukai itu. Bagaimanapun, beliau memberitahu pemberita bahawa kerajaan akan mendapatkan dana yang diperlukan menerusi "pembaharuan" fiskal dan "tanpa menerbitkan bon bagi membiayai defisit".

Sambil mengakui bahawa cukai penggunaan merupakan sumber pembiayaan penting bagi sistem keselamatan sosial, Takaichi berkata: "Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengembalikan kadar cukai kepada paras asal dua tahun selepas pelaksanaannya bagi memastikan kemampanan fiskal dan mengekalkan keyakinan pasaran."

Bagaimanapun, tempoh Takaichi sebagai ketua LDP akan berakhir pada musim luruh 2027, sekali gus menimbulkan ketidakpastian sama ada beliau akan terus memegang jawatan perdana menteri pada musim bunga 2029.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

Must Watch Video

Advertisement