Skip to main content

Dunia

Jepun rancang tempatkan peluru berpandu di pulau berhampiran Taiwan menjelang 2031

Japan's Defense Minister Shinjiro Koizumi speaks with media after meeting with South Korea's Defense Minister Ahn Gyu-back at the headquarters of the Japan Maritime Self-Defense Force, in Yokosuka District, Tokyo, January 30, 2026. Eugene Hoshiko/Pool via REUTERS
Koizumi (foto) memaklumkan bahawa langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Tokyo untuk memperkukuh pertahanan di kepulauan terpencil di barat daya Jepun bagi menghadapi ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di rantau berkenaan. -Foto Reuters

TOKYO: Kerajaan Jepun merancang untuk menempatkan unit peluru berpandu pertahanan udara di Pulau Yonaguni, wilayah paling barat negara itu yang terletak kira-kira 110 kilometer dari Taiwan, menjelang Mac 2031. 

Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi memaklumkan bahawa langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Tokyo untuk memperkukuh pertahanan di kepulauan terpencil di barat daya Jepun bagi menghadapi ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di rantau berkenaan. 

Advertisement

Unit yang bakal ditempatkan di Kem Yonaguni itu akan dilengkapi dengan sistem peluru berpandu darat ke udara jarak sederhana Type-03 (Chu-SAM), yang direka khusus untuk memintas pesawat musuh dan peluru berpandu balistik.

Menurut laporan media tempatan, rancangan penempatan ini dijangka akan dimulakan dalam tahun fiskal 2030 yang berakhir pada Mac 2031. 

Ini merupakan kali pertama Jepun menetapkan garis masa khusus bagi penempatan tersebut, selepas rancangan awal mengukuhkan pertahanan udara di pulau itu diumumkan pada 2022. 

Sebelum ini, Jepun telah mula memperkasakan kehadiran ketenteraannya di Yonaguni melalui penempatan unit peperangan elektronik dan pembinaan kemudahan simpanan bahan api serta peluru. 

Pulau tersebut kini menempatkan fasiliti Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) yang memantau pergerakan kapal dan pesawat China. Tokyo berkata langkah ini penting susulan peningkatan aktiviti ketenteraan China di ruang udara dan perairan sekitar Taiwan. 

Walau bagaimanapun, jadual penempatan itu mungkin berubah bergantung kepada kemajuan pembangunan kemudahan sokongan di pulau tersebut.

Koizumi turut menyatakan bahawa kementerian akan memberi taklimat kepada penduduk Pulau Yonaguni pada 2 Mac ini mengenai pelan berkenaan bagi menangani kebimbangan penduduk tempatan yang khuatir peningkatan aset ketenteraan boleh menjadikan pulau itu sasaran sekiranya konflik tercetus.

Pengumuman ini dibuat ketika Beijing terus menekan Jepun susulan kenyataan Perdana Menteri Sanae Takaichi yang menyebut kemungkinan Jepun campur tangan sekiranya Taiwan diserang. 

China yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, telah mengenakan sekatan ke atas puluhan firma Jepun dan mengurangkan kemasukan pelancong sebagai tindak balas terhadap pengukuhan keupayaan ketenteraan Tokyo. 

Kerajaan Jepun sebelum ini telah menggariskan keperluan untuk meningkatkan keupayaan serangan balas dan pertahanan bersepadu bagi menjamin kestabilan serantau dalam dokumen pertahanan negara.
 

Must Watch Video