TOKYO: Jepun akan menyalurkan barangan bantuan kecemasan termasuk khemah dan selimut kepada Colombia susulan gempa bumi bermagnitud 7.4 yang melanda negara Amerika Selatan itu minggu lepas, lapor Kyodo News yang memetik Kementerian Luar Jepun pada Isnin.
Menurut kementerian itu, Tokyo akan menghantar 200 khemah dan 1,200 selimut menerusi Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), selain barangan seperti alat penulen air dan bekas plastik.
Angka kematian akibat gempa bumi pada 10 Ogos di barat Colombia meningkat kepada lebih 280 orang, manakala lebih 4,100 yang lain cedera.
Usaha mencari mangsa diteruskan di kawasan terjejas yang menyaksikan banyak bangunan runtuh, manakala hampir 200 orang masih hilang.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada hujung minggu memberi amaran bahawa risiko mangsa bencana menjadi sasaran pemerdagangan manusia adalah tinggi memandangkan kawasan bencana turut bertindih dengan kawasan operasi kumpulan pengedaran dadah.
-- BERNAMA-KYODO