SINGAPURA: Kerjasama yang dipertingkatkan untuk memadamkan kebakaran di kawasan titik panas di seluruh wilayah selatan ASEAN sangat penting dalam menangani situasi jerebu rentas sempadan, menurut Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA).
Pengerusinya Simon Tay menyifatkan jerebu yang kini berlaku di wilayah selatan ASEAN sebagai ujian terhadap kerjasama serantau dalam menangani isu berkenaan.
"Buat masa ini, kerjasama untuk memadamkan kebakaran ialah perkara paling utama. Kita melihat adanya usaha sebenar untuk menangani kebakaran tersebut, walaupun tidak sempurna, usaha itu wajar diiktiraf.
"Penting juga untuk diingatkan bahawa cuaca tahun ini panas dan kering, serta fenomena El Nino yang kuat merupakan satu cabaran yang berat," katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Sambil mengakui kerjasama semasa ASEAN dalam pemantauan titik panas dan perkongsian data saintifik menerusi Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), Tay menekankan bahawa perkongsian maklumat kualitatif dan penyelarasan pelan pemadaman kebakaran masih boleh ditingkatkan.
Beliau berkata perkara itu akan diletakkan di bawah bidang kuasa Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) yang baharu di Jakarta. Pusat tersebut telah dilancarkan awal tahun ini namun belum beroperasi sepenuhnya.
"Diharapkan situasi jerebu tahun ini akan menjadi pemangkin untuk memuktamadkan perjanjian pelaksanaan dengan semua negara anggota ASEAN serta membolehkan pusat itu beroperasi sepenuhnya," tambah beliau.
Menurut Tay, tindakan jangka panjang bagi menangani isu jerebu perlu diteruskan melangkaui musim kering tahun ini, memandangkan dunia diramalkan bakal mengalami musim yang lebih panas dan kering pada masa hadapan akibat perubahan iklim.
Beliau berkata Malaysia telah mengusulkan penggunaan "diplomasi sains" yang lebih meluas serta penubuhan Tabung Jerebu Mampan yang baharu semasa mesyuarat peringkat menteri ASEAN mengenai jerebu pada Julai.
Penubuhan tabung itu bagi memperkukuh kerjasama dan pembiayaan serantau dalam usaha pencegahan jerebu.
"Ini satu cadangan yang baik, sememangnya sudah terdapat Tabung Kawalan Pencemaran Jerebu di bawah ASEAN, namun sumbernya terhad.
"Satu isu yang mungkin timbul menjelang musim kebakaran 2026 ialah pihak berkuasa tempatan dan agensi pengurusan bencana mungkin mempunyai sumber kewangan lebih terhad susulan keadaan ekonomi global yang kurang memberangsangkan serta langkah pengetatan belanjawan awam," katanya.
Dalam pada itu, Tay menegaskan bahawa isu jerebu akan terus menjadi agenda serantau apabila Singapura mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2027.
"Situasi jerebu semasa merupakan satu ujian ketahanan terhadap tahap kesiapsiagaan rantau ini dalam menangani jerebu namun ia juga menjadi peluang untuk membina kerjasama yang lebih kukuh pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA