Skip to main content

Dunia

Jerebu kebakaran hutan Kanada jejaskan Toronto, ancam kualiti udara bandar-bandar AS

The CN Tower is pictured in Toronto as wildfire smoke fills the city, on Wednesday, July 15, 2026. (Laura Proctor/The Canadian Press via AP)
Menara CN di Toronto diselubungi jerebu tebal akibat asap kebakaran hutan yang merebak ke bandar itu dari wilayah Ontario, Kanada. - Foto AP
Advertisement

TORONTO: Asap daripada kebakaran hutan yang sedang marak di barat laut Ontario menyebabkan kualiti udara di Toronto merosot ke paras paling buruk dalam kalangan bandar utama dunia pada Rabu, selain turut merebak ke timur laut Amerika Syarikat (AS) sehingga mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan.

Walaupun kebakaran berlaku di kawasan yang jarang penduduk dan terletak ratusan kilometer dari Toronto, asap tebal yang terhasil telah menyelubungi kawasan yang luas, termasuk bandar terbesar Kanada itu dan beberapa bandar di AS.

Environment Canada melaporkan Indeks Kesihatan Kualiti Udara (AQHI) Toronto berada pada bacaan 10+, diklasifikasikan sebagai "risiko sangat tinggi", dengan keadaan berbahaya dijangka berterusan sehingga Khamis malam.

Syarikat teknologi pemantauan kualiti udara berpangkalan di Switzerland, IQAir, meletakkan Toronto sebagai bandar dengan kualiti udara paling buruk di dunia pada Rabu, mengatasi Kinshasa dan New Delhi. New York pula berada di kedudukan kelima.

Di AS, penduduk New York turut mula merasai kesan jerebu rentas sempadan itu.

Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran apabila kualiti udara mencapai tahap tidak sihat dan menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti lasak di luar rumah serta mengambil langkah berjaga-jaga.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memaklumkan asap berkemungkinan berterusan sehingga penghujung minggu.

Profesor penyelidikan bersekutu Universiti Columbia, Dan Westervelt, berkata keadaan dijangka menjadi lebih buruk.

"Kita mungkin belum melihat situasi paling teruk di New York City. Perkara sama juga mungkin berlaku di kawasan Great Lakes, utara New York dan New England," katanya.

Kejadian itu turut menjejaskan aktiviti awam di Toronto apabila pihak berkuasa membatalkan Festival Peminat FIFA dan acara tontonan bersama Piala Dunia England menentang Argentina di Nathan Phillips Square akibat kualiti udara yang merosot.

Di kawasan metropolitan New York pula, lebih 80,000 penonton dijangka menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia di stadium terbuka di New Jersey pada Ahad, manakala kira-kira 50,000 lagi diramal menyaksikan perlawanan itu di Central Park.

Gabenor New York, Kathy Hochul, menggesa penduduk, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan, supaya lebih berhati-hati berikutan keadaan udara yang tidak sihat akibat asap kebakaran Kanada.

Sementara itu, kebakaran hutan turut menyebabkan dua kumpulan kecil kanak-kanak dari Minnesota yang menyertai program perkhemahan YMCA di kawasan pedalaman Kanada terperangkap.

Salah satu kumpulan berjaya dipindahkan menggunakan helikopter dengan bantuan tentera Kanada.

Gabenor Minnesota, Tim Walz, kemudian mengesahkan kesemua kanak-kanak terbabit telah diselamatkan dan dalam perjalanan pulang dengan selamat.

Rakaman video yang tular di media sosial turut menunjukkan sebuah kereta api Canadian National dikelilingi api berhampiran Armstrong, Ontario.

Syarikat pengendali kereta api itu memaklumkan kakitangannya serta penduduk kawasan berkenaan telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala operasi rel berhampiran Armstrong digantung sementara.

Kerajaan Kanada sebelum ini memaklumkan musim kebakaran hutan tahun 2026 bermula lebih perlahan berbanding tahun 2023 dan 2025, namun suhu yang lebih panas daripada kebiasaan meningkatkan risiko kebakaran lebih besar.

Menurut data rasmi kerajaan, sebanyak 835 kebakaran hutan aktif direkodkan di seluruh negara pada Rabu, dengan 112 daripadanya masih tidak terkawal.

Setakat ini, kira-kira 1.9 juta hektar kawasan telah musnah akibat kebakaran, kebanyakannya di wilayah Manitoba, Saskatchewan dan Ontario.

Profesor Kejuruteraan Kimia dan Kimia Gunaan Universiti Toronto, Greg Evans, berkata Toronto kini berdepan dua cabaran serentak iaitu gelombang haba dan pencemaran udara akibat kebakaran hutan.

Beliau menjangkakan kejadian sedemikian akan berlaku lebih kerap pada masa hadapan, sekali gus memerlukan bandar-bandar serta penduduk bersedia menghadapi kesan perubahan iklim.

Seorang penduduk Toronto, Paula Oreskovich, berkata beliau dapat melihat jerebu dan menghidu bau asap sebaik keluar dari rumah pada pagi Rabu.

"Jika seseorang masih tidak bimbang tentang perubahan iklim, itu sesuatu yang sukar difahami. Ia memang sedang berlaku dan memberi kesan di seluruh dunia," katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement