Skip to main content

Malaysia

Pindaan Akta MARA di peringkat akhir, dijangka dibentang tahun ini - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada sidang media selepas menghadiri Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2026 di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada sidang media selepas menghadiri Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2026 di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 kini di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum sidang Parlimen tahun ini berakhir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pihaknya berharap penyediaan draf akhir Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dibawa ke Parlimen untuk kelulusan.

“Insya-Allah segala-galanya telah di peringkat terakhir dan kita harap dalam waktu yang terdekat dan sebelum tamatnya sidang Dewan Rakyat pada tahun ini kita akan dapat versi terakhir untuk penyediaan the blue bill ataupun bil biru untuk dibentangkan di Dewan Rakyat bagi mendapat kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2026  di sini hari ini.

Advertisement

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah MARA Dr Mahzan Teh. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata MARA menyasarkan pembiayaan keusahawanan agensi itu meningkat kepada kira-kira RM1 bilion pada masa hadapan berbanding RM552 juta yang diperuntukkan tahun lepas.

Advertisement

Beliau berkata peningkatan itu bagi menggalakkan lebih ramai usahawan menyertai program Gate to Global anjuran MARA untuk menembusi pasaran antarabangsa, selain merencanakan penyenaraian syarikat-syarikat berpotensi di Bursa Malaysia.

"Saya amat yakin usaha ini dapat dilakukan dengan lebih agresif mulai tahun hadapan kerana kita telah mengenal pasti syarikat-syarikat yang mempunyai perolehan yang mencukupi dan juga keuntungan yang mengikut syarat-syarat ditentukan oleh Bursa.

"Insya-Allah kita akan terus membantu dan menentukan agar mereka bersama-sama untuk disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.

Mengenai AURA yang dianjurkan secara dwitahunan, Ahmad Zahid berharap penerima anugerah berkenaan menjadi ikon serta pemangkin kepada usahawan lain di bawah bimbingan agensi itu.

"Penerima-penerima anugerah ini akan dijadikan sebagai ikon untuk usahawan lain yang mendapat pembiayaan dan bimbingan daripada MARA agar mereka boleh jadi pemangkin kepada pewujudan lebih ramai lagi usahawan di bawah pembiayaan dan pembinaan untuk maju di peringkat global," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata MARA perlu memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan serta mengelak daripada bekerja secara bersendirian atau silo dalam usaha melonjakkan keupayaan usahawan bumiputera ke peringkat global.

Ahmad Zahid berkata pendekatan rentas fungsi amat diperlukan bagi memastikan sumber tidak terpecah dan peranan setiap agensi tidak bertindih dalam membangunkan ekosistem keusahawanan negara.

Beliau berkata MARA perlu menjalin kerjasama erat bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corp, SME Bank, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), institusi kewangan serta agensi-agensi pensijilan.

-- BERNAMA
 

 

Must Watch Video

Advertisement