SINGAPURA: Kualiti udara di Singapura terus merosot selepas wilayah Tengah, Barat dan Timur mencatatkan tahap tidak sihat berikutan keadaan jerebu berterusan pada Isnin.
Data Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menunjukkan Indeks Pencemar Udara (PSI) 24 jam di seluruh republik itu berkisar antara 90 hingga 126 setakat 9 malam semalam, dengan wilayah Tengah mencatatkan bacaan 126, Timur (111) dan Barat (109).
Kualiti udara di kawasan lain kekal pada tahap sederhana, dengan wilayah Utara mencatatkan bacaan 90 manakala Selatan 97.
PSI 24 jam menunjukkan kualiti udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Ia dikira berdasarkan enam pencemar udara: PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.
Dalam nasihat terbaharunya, NEA memaklumkan, kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan bergerak ke arah Singapura berikutan peralihan angin lazim dari arah timur-tenggara.
Agensi itu turut mendapati sedikit jerebu asap kelihatan ditiup dari bahagian selatan Sumatera.
“Keadaan kering diramalkan melanda Singapura dan rantau sekitarnya dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Dengan angin lazim diramalkan berterusan bertiup dari tenggara ke timur-tenggara, Singapura berkemungkinan terus terjejas akibat jerebu asap,” menurut agensi itu.
-- BERNAMA