KUALA LUMPUR: Organisasi dan pengamal media tempatan terus diperkasa bagi mendepani landskap digital yang semakin mencabar menerusi pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan geran sebanyak RM30 juta.
Inisiatif terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang disalurkan kerajaan bagi menyokong transformasi dan kelangsungan industri media pada tahun ini mencecah RM60 juta susulan kejayaan pelaksanaan Dana Inovasi Media 1.0 pada awal tahun.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata dana berkenaan diwujudkan khusus bagi membantu syarikat media menstruktur semula model perniagaan yang lebih mampan, selain melindungi kebajikan petugas media yang berdepan cabaran peralihan teknologi.
Beliau berkata, perkembangan era digital menyaksikan peralihan ketara pendapatan pengiklanan serta penggunaan kandungan berita oleh platform media sosial gergasi, sekali gus menjejaskan pendapatan agensi media konvensional.
“Dana inovasi ini memang berhasrat untuk membantu organisasi media kerana kita tahu bahawa pada zaman ini, banyak kandungan diguna pakai oleh platform media sosial dan banyak pengiklanan juga telah beralih ke platform berkenaan.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa agensi media kini mempunyai cabaran tersendiri. Oleh sebab itu, kita lancarkan dana ini supaya kita boleh menyalurkannya kepada agensi media untuk memberi latihan kepada pekerja mereka, menaik taraf fasiliti serta perkakasan operasi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Sebelum itu, Teo meluangkan masa untuk menyerahkan hamper sempena sambutan perayaan Deepavali di stesen radio Astro Malaysia pada Selasa.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Berhad (AMHB) Henry Tan, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro, Laila Saat dan Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran.
Dana Inovasi Media 2.0 itu turut diperluas bagi membolehkan agensi berita memanfaatkan peruntukan tersebut untuk melanggan sumber berita luaran.
“Bagi Dana Inovasi 2.0, kita memperluas lagi skop dana ini. Sekarang, Dana Inovasi Media juga boleh diguna pakai untuk membeli langganan (subscription) supaya mereka boleh mendapatkan sumber berita daripada agensi media lain,” katanya.
Terdahulu, dalam pelaksanaan Dana Inovasi Media 1.0, sebanyak 72 agensi media tempatan telah menerima manfaat dengan kelulusan geran maksimum sehingga RM300,000 bagi setiap organisasi, termasuk Astro AWANI dan Astro Radio.
Sehubungan itu, beliau menyarankan semua organisasi media supaya segera mengemukakan permohonan bagi fasa kedua dana berkenaan bagi memacu inovasi bilik berita serta meningkatkan daya saing tenaga kerja masing-masing.