KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memastikan pentadbiran negeri diurus secara telus, berintegriti serta bebas daripada salah laku, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata usaha itu digerakkan menerusi Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang berperanan sebagai mekanisme khusus dalam memperkukuh aspek tersebut.
Beliau berkata enam fungsi utama bahagian itu merangkumi tadbir urus, pengukuhan integriti, pengurusan aduan, pengesahan, pengesanan dan pematuhan.
“Kerajaan negeri turut mempunyai pelan antirasuah sebagai instrumen pencegahan pada peringkat agensi berasaskan penilaian risiko, strategi tindakan serta pemantauan.
“Pelan ini memberikan fokus kepada pentadbiran awam, penguatkuasaan undang-undang, tadbir urus korporat serta aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Mohamed Fadzli berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Almidi Jaafar (PAS-Bukit Bunga) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan saluran rasmi bagi orang awam dan penjawat awam menyalurkan maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta kelemahan sistem untuk tindakan lanjut.
Beliau menggalakkan orang ramai menggunakan saluran itu bagi membolehkan aduan disiasat berbanding membuat dakwaan di media sosial tanpa disertakan bukti.
Selain itu, Mohamed Fadzli berkata kawalan audit dalaman turut dilaksanakan bagi memastikan setiap proses kerja mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menjawab soalan tambahan Mohd Rodzi Ja’afar (PAS-Gaal) mengenai perlindungan pemberi maklumat, beliau berkata kerajaan negeri mempunyai polisi Pemberi Maklumat Pejabat SUK Kelantan yang diguna pakai di jabatan kerajaan negeri.
Polisi itu bertujuan menggalakkan penjawat awam dan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran integriti, salah guna kuasa dan penyelewengan.
-- BERNAMA