Skip to main content
Advertisement

Dunia

Jet peribadi hasilkan 16 juta tan karbon dioksida tahun lepas, menurut Oxfam

Lebih daripada 55,000 penerbangan jet peribadi berlepas dari lapangan terbang di Jerman pada tahun lepas, sekali gus menghasilkan lebih 182,000 tan CO₂. - Gambar fail
Lebih daripada 55,000 penerbangan jet peribadi berlepas dari lapangan terbang di Jerman pada tahun lepas, sekali gus menghasilkan lebih 182,000 tan CO₂. - Gambar fail

Advertisement

BERLIN: Jet peribadi menghasilkan pelepasan karbon yang jauh lebih tinggi secara tidak seimbang, menurut analisis oleh pertubuhan bantuan Oxfam.

Jet peribadi bertanggungjawab terhadap sejumlah 16 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO₂) di seluruh dunia pada tahun lepas, menurut pertubuhan itu pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut Oxfam, jet peribadi melepaskan lebih banyak CO₂ dalam tempoh hanya dua saat berbanding jumlah pelepasan yang dihasilkan oleh seseorang daripada 50 peratus penduduk termiskin dunia dalam tempoh setahun.

Lebih daripada 55,000 penerbangan jet peribadi berlepas dari lapangan terbang di Jerman pada tahun lepas, sekali gus menghasilkan lebih 182,000 tan CO₂.

Menurut Oxfam,  jet berkenaan melepaskan lebih banyak karbon dioksida dalam tempoh setengah jam berbanding jumlah pelepasan yang dihasilkan oleh seorang penduduk purata di Jerman dalam tempoh setahun. Pertubuhan itu menganggarkan purata pelepasan tahunan per kapita di Jerman ialah 9.9 tan METRIK.

Oxfam, bagaimanapun tidak membuat perbandingan pelepasan bagi setiap penumpang antara jet peribadi dengan penerbangan komersial.

Menurut Oxfam, hanya kira-kira 250,000 orang di seluruh dunia menggunakan jet peribadi, iaitu mewakili golongan 0.0003 peratus terkaya daripada keseluruhan penduduk dunia.

"Golongan amat kaya sedang mendorong dunia ke arah kemusnahan iklim," kata pertubuhan itu sambil menegaskan bahawa sebilangan kecil golongan berkenaan bertanggungjawab terhadap bahagian pelepasan yang tidak seimbang melalui penggunaan barangan mewah dan aktiviti lain.

Oxfam menggesa supaya cukai yang lebih tinggi dikenakan ke atas golongan yang memiliki kekayaan besar.

--BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement