Gabenor Jakarta, Joko Widodo boleh muncul sebagai pemenang pilihan raya Presiden Indonesia dengan mudah sekiranya pemilihan itu diadakan hari ini, kata seorang penganalisis politik.

"Jokowi boleh menang mutlak dengan lebih 60 peratus undi tidak kira siapa pun lawannya," kata ahli lembaga penasihat Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Jeffrie Geovanie seperti dipetik oleh Jakarta Globe hari ini.

Katanya, Joko akan kekal jadi pesaing utama dalam pilihan raya yang akan diadakan tahun depan itu sekiranya konvensyen Parti Demokrat yang akan memilih calon bagi parti itu gagal memenuhi harapan rakyat.

Bagaimanapun kata Jeffrie, Joko akan berdepan cabaran sengit daripada calon lebih muda seperti Menteri Perdagangan, Gita Wirjawan; bekas hakim Mahkamah Agung, Mahfud M.D; speaker Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR), Marzuki Alie; Ketua Dewan Perwakilan Daerah, Irman Gusman; Duta Indonesia ke Amerika Syarikat Dino Patti Djalal atau ahli perniagaan, Chairul Tanjung.

"Konvensyen Parti Demokrat akan jadi acara yang menarik apabila tokoh-tokoh generasi muda boleh memperkenalkan diri," katanya.

Jelas Jeffrie, sekiranya calon yang dinamakan dalam konvensyen itu gagal memenuhi harapan rakyat, Joko mungkin boleh maju ke jawatan tertinggi itu tanpa sebarang masalah.

"Jadi pada 2014 nanti, persoalannya ialah siapa yang akan jadi naib presiden Indonesia," katanya.

Pemimpin Parti Demokratik Indonesia - Perjuangan (PDIP), Megawati Soekarnoputri baru-baru ini membayangkan beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan presiden tahun depan dan sedia mendokong calon lebih muda termasuk Jokowi.

Adik Megawati, Rachmawati Soekarnoputri yang menyokong Jokowi semasa pemilihan gabenor Jakarta bagaimanapun berpendapat bekas Datuk Bandar Solo itu masih belum layak untuk jadi Presiden Indonesia biarpun beliau jauh lebih popular berbanding calon lain seperti Megawati dan Prabowo Subianto.

"Bukannya mudah menerajui sebuah negara. Ia tidak boleh dibandingkan dengan memimpin Jakarta kerana mentadbir negara itu jauh lebih kompleks," kata Rachmawati baru-baru ini.

Jokowi sebelum ini mengumumkan tidak berhasrat untuk menamatkan mandatnya sebagai gabenor Jakarta lebih awal. Beliau terpilih sebagai gabenor Jakarta pada Oktober tahun lalu dan mempunyai mandat sehingga 2017.