Skip to main content

Dunia

United Airlines berjaya pulihkan sistem, tolak dakwaan serangan siber

United Airlines memaklumkan gangguan sistem yang menyebabkan kelewatan beberapa penerbangan telah berjaya diselesaikan. Syarikat itu turut menegaskan insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan serangan siber. - Foto REUTERS
United Airlines memaklumkan gangguan sistem yang menyebabkan kelewatan beberapa penerbangan telah berjaya diselesaikan. Syarikat itu turut menegaskan insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan serangan siber. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • United Airlines menyelesaikan gangguan sistem besar yang menyebabkan kelewatan penerbangan, hanya tiga hari selepas gangguan kawalan trafik udara di Amerika Syarikat.
  • Gangguan teknologi menjejaskan aplikasi operasi juruterbang, namun penerbangan di udara dan operasi United Express tidak terkesan.
  • United Airlines menegaskan tiada bukti serangan siber, di tengah siri gangguan teknologi yang turut menjejaskan sektor kewangan dan teknologi Amerika Syarikat.
Advertisement

AMERIKA SYARIKAT: Syarikat penerbangan Amerika Syarikat, United Airlines memaklumkan gangguan sistem berskala besar yang menjejaskan operasi penerbangannya telah berjaya diselesaikan, hanya tiga hari selepas gangguan sistem kawalan trafik udara menyebabkan semua penerbangan di Amerika Syarikat (AS) dihentikan sementara selama lebih empat jam.

Menurut syarikat penerbangan itu, gangguan teknologi berkenaan menyebabkan beberapa penerbangan keluar mengalami kelewatan selepas menjejaskan beberapa aplikasi operasi yang digunakan juruterbang, termasuk sistem komunikasi kru dan proses pengesahan data penerbangan.

Bagaimanapun, penerbangan yang sedang berada di udara serta operasi United Express tidak terkesan.

Advertisement

Memetik laporan The Gurdian, United Airlines turut menegaskan tiada petunjuk bahawa gangguan tersebut berpunca daripada serangan siber, sekali gus meredakan kebimbangan susulan beberapa insiden teknologi berprofil tinggi yang berlaku di AS sejak kebelakangan ini.

Insiden itu berlaku ketika negara berkenaan masih berdepan kesan gangguan sistem Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada Jumaat lalu yang menyebabkan pemberhentian sementara semua penerbangan komersial di seluruh negara.

Advertisement

Gangguan tersebut dilaporkan berpunca daripada kerja naik taraf rangkaian gentian optik yang mengakibatkan sistem komunikasi kritikal mengalami gangguan.

Pada masa sama, beberapa bank utama AS dan perkhidmatan pemindahan wang digital turut berdepan gangguan operasi pada Isnin, manakala Microsoft baru-baru ini memulihkan gangguan global yang menjejaskan pelbagai perkhidmatan termasuk Outlook, Teams dan pembantu AI Copilot.

Siri gangguan yang berlaku dalam tempoh singkat itu sekali lagi menonjolkan kebergantungan tinggi ekonomi moden terhadap sistem digital serta cabaran memastikan kesinambungan operasi bagi sektor kritikal seperti penerbangan, kewangan dan teknologi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement