Skip to main content

Dunia

Juruterbang Air Canada didakwa lakukan 900 penerbangan tanpa lesen sah selama 17 tahun

AIR CANADA
Air Canada dalam kenyataan memaklumkan, juruterbang itu digantung tugas serta-merta setelah dokumen palsu tersebut dikesan tahun lalu, selain syarikat secara sukarela melaporkan perkara itu kepada agensi kawal selia, Transport Canada. - Gambar fail

TORONTO: Seorang bekas juruterbang Air Canada didakwa menerbangkan ribuan penumpang dalam penerbangan komersial tanpa lesen yang sah selama 17 tahun, menurut pihak berkuasa Kanada.

Polis memaklumkan, juruterbang berusia 59 tahun, Geoffrey Wall dari Ontario, didapati menggunakan kelayakan palsu sejak dinaikkan pangkat sebagai kapten pada 2009.

Beliau kini berdepan beberapa pertuduhan berkaitan penipuan.

Air Canada dalam kenyataan memaklumkan, juruterbang itu digantung tugas serta-merta setelah dokumen palsu tersebut dikesan tahun lalu, selain syarikat secara sukarela melaporkan perkara itu kepada agensi kawal selia, Transport Canada.

Syarikat penerbangan itu turut menegaskan, keselamatan penumpang tidak pernah terjejas, sambil menjelaskan semua juruterbang menjalani latihan dan penilaian kecekapan setiap enam bulan.

Timbalan Ketua Polis Wilayah Peel, Nick Milinovich berkata, Wall telah berkhidmat dengan Air Canada selama 27 tahun, memulakan kerjaya sejak 1998.

Menurut polis, beliau didakwa memberi gambaran salah mengenai kelayakannya sejak 2009, ketika dilantik sebagai juruterbang utama atau kapten.

Bagi jawatan tersebut, juruterbang diwajibkan memiliki lesen Juruterbang Pengangkutan Syarikat (ATPL), yang diperoleh melalui beberapa siri peperiksaan bertulis.

Milinovich menyifatkan situasi itu seperti seorang doktor yang hanya bertauliah dalam perubatan am tetapi melakukan pembedahan otak.

Sepanjang 17 tahun lalu, Wall didakwa menerbangkan beberapa jenis pesawat Boeing, melibatkan kira-kira 900 penerbangan domestik dan antarabangsa serta memperoleh jutaan dolar gaji, walaupun tidak memiliki kelayakan yang diperlukan.

Penipuan itu terbongkar tahun lalu semasa penilaian rutin, selepas terdapat ketidakselarasan dalam dokumen lesen yang dikemukakan, sekali gus mencetuskan siasatan oleh Transport Canada.

Polis Wilayah Peel kemudian melancarkan siasatan jenayah, termasuk mendapatkan waran geledah dan menganalisis dokumen lesen tersebut yang disahkan palsu.

Wall didakwa pada 1 Jun dengan tujuh pertuduhan, termasuk penipuan, pemalsuan dokumen dan memiliki cap palsu.

Air Canada menjelaskan juruterbang itu sebenarnya memiliki lesen juruterbang komersial yang sah, namun tidak mempunyai lesen ATPL yang diwajibkan untuk berkhidmat sebagai kapten mengikut peraturan Kanada.

Dalam kenyataan sama, syarikat turut menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu dan telah menjalankan audit dalaman ke atas semua juruterbang tanpa menemui sebarang pelanggaran lain.

Mengulas mengapa penipuan tersebut berlarutan sekian lama tanpa dikesan, Milinovich berkata, individu yang melakukan penipuan mampu menjadi sangat mahir dalam memperdaya sistem.

“Penipuan seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa berlarutan selama bertahun-tahun, namun akhirnya ia akan terbongkar,” katanya.

Wall dijadual hadir ke mahkamah pada 29 Jun. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement