Warga Switzerland, Xavier Andre Justo dihukum penjara tiga tahun oleh mahkamah Thailand hari ini selepas mengaku bersalah mengugut bekas majikannya PetroSaudi International.

Pengurangan penjara tiga tahun daripada enam tahun dibuat Hakim selepas mengambil kira pengakuan Justo terhadap pertuduhan.

Perbicaraan diadakan secara tertutup bermula jam 9 pagi berakhir dan berakhir pada jam 12.15 tengah hari waktu Bangkok.

Hukuman berkuat kuasa hari ini dan Justo, 48, yang dilihat digari di kaki dan tangan terus dibawa ke penjara Bangkok.

Mengikut undang-undang Thailand, Justo masih mempunyai peluang merayu sabitan hukuman itu.

Justo didakwa mengikut seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand, iaitu cubaan peras ugut yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga 20,000 baht atau RM2,250.

Justo ditangkap di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand pada 22 Jun lalu.

Justo ditahan selepas PetroSaudi memfailkan aduan, dan kemudian dibawa ke Bangkok.

Semasa dalam tahanan, dia mengaku cuba memeras ugut dengan menggunakan maklumat yang diperoleh daripada PetroSaudi.

Dia juga mengaku menyerahkan dokumen yang dicuri kepada 'seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia' yang sebenarnya merupakan Pengerusi The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong, yang tidak melunaskan bayaran seperti dijanjikan.

Justo, bagaimanapun, menafikan mengubah dokumen digital itu.

Polis Malaysia juga mahu menemubual Justo memandangkan sebahagian daripada maklumat itu berkaitan urus niaga PetroSaudi dengan 1Malaysia Development Bhd, bagaimanapun rakan sejawatan mereka dari Thailand menolak permintaan itu.

Kes Justo menarik minat mendalam di Malaysia berikutan kewujudan projek usaha sama antara PetroSaudi International dan 1Malaysia Development Berhad.