PEKANBARU: Masalah jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah yang semakin merebak kini menyelubungi sebahagian besar wilayah di Indonesia, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan jutaan penduduk.
Situasi itu menyebabkan peningkatan kes penyakit saluran pernafasan, selain mengganggu aktiviti harian dan memaksa penutupan sesi persekolahan di beberapa kawasan terjejas.
Di wilayah Riau, jerebu tebal dilapor mengurangkan jarak penglihatan kepada sekitar 500 meter sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan peningkatan pencemaran udara.
Bacaan zarah halus PM2.5 di kawasan berkenaan turut melonjak kepada 235.7 mikrogram per meter padu (μg/m³) dalam tempoh tersebut.
Paras pencemaran udara itu melebihi 15 kali ganda daripada kadar purata 24 jam yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 15 μg/m³.
Sementara itu, di Sumatera Selatan, asap daripada kebakaran hutan dan tanah dilaporkan melitupi sebahagian besar ruang udara Palembang.
Kualiti udara di bandar berkenaan dilaporkan berada pada tahap sangat tidak sihat berikutan keadaan udara yang dicemari partikel debu dan asap tebal sejak 23 Ogos lalu.