DUNIA
Kamus Cambridge tambah istilah seperti 'skibidi', 'tradwife', 'delulu'

Kamus Cambridge menggunakan Cambridge English Corpus, bagi memerhati bagaimana perkataan baharu digunakan oleh pelbagai pihak, seberapa kerap dan dalam konteks ia digunakan.
LONDON: "Skibidi," "tradwife," "delulu" dan beberapa istilah slanga lain yang popular di media sosial kini termasuk dalam ribuan perkataan baharu yang ditambah ke dalam Kamus Cambridge tahun ini, lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Kamus Cambridge menambah lebih 6,000 perkataan baharu termasuk istilah slanga popular seperti "skibidi," "tradwife" dan "delulu," yang mencerminkan pengaruh budaya internet dan media sosial terhadap bahasa Inggeris moden.
- Perkataan seperti "mouse jiggler" dan "forever chemical" turut dimasukkan, mencerminkan perubahan gaya kerja dan kebimbangan terhadap isu alam sekitar, manakala istilah gabungan seperti "broligarchy" menggambarkan kelompok elit teknologi yang berpengaruh.
- Kamus Cambridge hanya menambah perkataan yang dijangka kekal lama berdasarkan analisis pangkalan data Cambridge English Corpus, yang memantau penggunaan dan konteks perkataan secara meluas dalam bahasa Inggeris bertulis dan lisan.
"Skibidi" didefinisikan dalam kamus sebagai 'perkataan yang boleh membawa pelbagai makna berbeza seperti 'hebat' atau 'buruk,' atau digunakan tanpa sebarang maksud sebagai jenaka.' Contoh penggunaannya: "What the skibidi are you doing?"
Menurut Kamus Cambridge, istilah dicipta oleh pencipta siri animasi tular di YouTube bertajuk "skibidi toilet."
"Budaya internet sedang mengubah bahasa Inggeris dan kesannya sangat menarik untuk diperhatikan serta didokumentasikan ke dalam kamus," kata Colin McIntosh, pengurus program leksikal di Kamus Cambridge.
"Tradwife," singkatan kepada traditional wife (isteri tradisional), juga semakin popular menurut Kamus Cambridge.
Ia ditakrifkan sebagai wanita yang sudah berkahwin, tinggal di rumah, melakukan tugas seperti memasak, mengemas dan menjaga anak, khususnya mereka yang berkongsi gaya hidup itu di media sosial.
Selain frasa baharu, versi ringkas daripada istilah sedia ada turut ditambah, termasuk "delulu," yang berasal daripada perkataan delusional dengan definisi serupa: "mempercayai sesuatu yang tidak nyata atau benar, biasanya kerana memilih untuk berbuat demikian."
McIntosh berkata Kamus Cambridge hanya menambah perkataan yang diyakini mampu bertahan dalam jangka masa panjang.
"Bukan setiap hari perkataan seperti 'skibidi' dan 'delulu' ditambah ke dalam Kamus Cambridge.
"Kami hanya menambah perkataan yang kami fikir akan kekal lama," katanya.
Kamus Cambridge menggunakan Cambridge English Corpus, sebuah pangkalan data mengandungi lebih dua bilion perkataan bertulis dan lisan dalam bahasa Inggeris, bagi memerhati bagaimana perkataan baharu digunakan oleh pelbagai pihak, seberapa kerap dan dalam konteks ia digunakan.
Beberapa istilah gabungan seperti "broligarchy" turut ditambah.
Menggabungkan "bro" dan "oligarchy," ditakrifkan sebagai "sekumpulan kecil lelaki, khususnya yang memiliki atau terlibat dalam perniagaan teknologi, yang sangat kaya dan berpengaruh serta mempunyai atau bercita-cita memiliki pengaruh politik."
Ia pernah digunakan bagi merujuk tokoh teknologi seperti Jeff Bezos, Elon Musk dan Mark Zuckerberg ketika menghadiri upacara angkat sumpah Donald Trump pada Januari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami