OTTAWA: Kanada mengumumkan akan mengenakan sekatan kepada pemimpin kumpulan pejuang Hamas dan warganegara Israel yang terlibat dengan aktiviti keganasan di Tebing Barat.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar Kanada, Melanie Joly dalam satu wawancara pada Ahad.

Langkah itu menyusuli Amerika Syarikat (AS) yang menghukum empat individu dituduh terlibat dalam keganasan di wilayah yang diduduki.

Dalam temu bual dengan Canadian Broadcasting Corp yang disiarkan pada Ahad, Joly berkata beberapa 'peneroka' Israel akan dikenakan sekatan dan termasuk sekatan baharu ke atas pemimpin Hamas.

Katanya lagi, kerajaan Kanada sedang mengusahakan langkah itu secara aktif.

Presiden Joe Biden sebelum ini meluluskan sekatan ke atas empat warga Israel yang dituduh menyerang rakyat Palestin di Tebing Barat diceroboh.

Biden menandatangani perintah eksekutif sambil menyatakan keganasan di Tebing Barat telah mencapai “tahap yang tidak boleh diterima”.

Arahan ini menyekat individu-individu berkenaan daripada mengakses semua harta, aset dan sistem kewangan di AS.