Skip to main content

Dunia

Kapal persiaran dilanda hantavirus tinggalkan Cape Verde, tiga dipindahkan

A boat beside cruise ship MV Hondius anchored off Cape Verde port, on the day sick passengers were evacuated by boat from the cruise ship, in Praia Port, Cape Verde, in this screengrab obtained from a video, May 5, 2026. REUTERS TV via REUTERS
Semua penumpang tanpa gejala akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Tenerife sebelum dibenarkan pulang atau dikuarantin mengikut keperluan. - Foto fail/REUTERS

CAPE VERDE: Sebuah kapal persiaran Belanda yang dilanda wabak hantavirus meninggalkan Cape Verde selepas tiga individu dipindahkan keluar untuk rawatan lanjut.

Operator kapal, Oceanwide Expeditions, memaklumkan seorang lelaki Britain berusia 56 tahun, seorang kru warga Belanda berusia 41 tahun dan seorang warga Jerman berusia 65 tahun diterbangkan ke Belanda.

Dua daripada mereka telah tiba di hospital, manakala seorang lagi masih dalam penerbangan yang mengalami kelewatan.

Kapal MV Hondius yang membawa 146 penumpang kini dalam perjalanan tiga hari menuju ke Kepulauan Canary dengan langkah keselamatan ketat.

Sejak berlepas dari Argentina sebulan lalu, tiga kematian dilaporkan, dengan seorang disahkan dijangkiti hantavirus manakala dua lagi masih disiasat.

Setakat ini, lapan kes hantavirus telah dikenal pasti dalam kalangan mereka yang berada di atas kapal, termasuk tiga kes disahkan dan lima kes disyaki.

Walaupun virus itu lazimnya disebarkan melalui tikus, pakar kesihatan percaya penularan dalam kes ini mungkin berlaku melalui kontak rapat antara manusia.

Pihak berkuasa kesihatan menegaskan risiko penularan kepada orang awam adalah rendah.

Semua penumpang tanpa gejala akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Tenerife sebelum dibenarkan pulang atau dikuarantin mengikut keperluan.

Ketibaan kapal ke Kepulauan Canary bagaimanapun mencetuskan kebimbangan, dengan pemimpin wilayah berkenaan membantah keputusan tersebut, walaupun pihak berkuasa Sepanyol memberi jaminan tiada risiko kepada penduduk setempat.
 

 

Must Watch Video