JAKARTA: Sebuah kapal tangki gergasi Iran kedua dilaporkan telah berjaya mengelak pemantauan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan kini berlayar melalui perairan Indonesia menuju Kepulauan Riau.
Firma pemantauan perkapalan minyak, TankerTrackers.com, memaklumkan dalam satu hantaran di platform X bahawa kapal Very Large Crude Carrier (VLCC) bernama DERYA kini sedang melintasi Selat Lombok selepas percubaan menghantar 1.88 juta tong minyak mentah Iran ke India pada pertengahan April gagal.
Advertisement
Menurut firma itu, kapal berkenaan dikesan meneruskan pelayaran ke arah selatan ketika beberapa kapal tangki Iran lain di kawasan sama diarahkan kembali ke Iran oleh Tentera Laut AS.
DERYA kini dikatakan menuju ke satu lokasi pertemuan di Kepulauan Riau.
Laporan itu dibuat sehari selepas TankerTrackers.com mendedahkan sebuah lagi supertanker Iran, HUGE, yang membawa kira-kira 1.9 juta tong minyak, turut berjaya memasuki Selat Lombok dan sedang menuju ke kawasan yang sama.
Firma pemantauan tersebut turut melaporkan kira-kira 25 kapal tangki membawa minyak mentah Iran meninggalkan negara itu sepanjang April.
Daripada jumlah itu, tujuh kapal diarahkan berpatah balik oleh Tentera Laut AS, manakala dua dirampas.
Selebihnya dilaporkan telah tiba di destinasi atau lokasi pertemuan masing-masing.
Perkembangan ini berlaku ketika ketegangan berkaitan penghantaran minyak Iran dan penguatkuasaan sekatan antarabangsa terus meningkat di perairan strategik rantau Asia Tenggara.