ENGLAND:Veteran askar British, Kapten Sir Tom Moore disahkan meninggal dunia setelah dimasukkan ke hospital pada Ahad akibat jangkitan COVID-19.

Menerusi laporan BBC pada Rabu, berita duka itu disahkan oleh anak perempuannya Hannah Ingram-Moore yang memberitahu bapanya meninggal dunia pada usia 100 tahun pada Selasa di Hospital Bedford, England.

"Kami sangat bersyukur kerana bersamanya selama beberapa jam terakhir dalam hidupnya; Hannah, Benjie dan Georgia termasuk Lucy menerusi 'FaceTime'.

"Kami menghabiskan berjam-jam berbual dengannya, mengenangkan masa kecil, kisah ibu kami yang cukup indah. Kami ketawa dalam tangisan.

"Tahun terakhir kehidupan ayah tidak kurang hebatnya. Dia kembali bersemangat dan melakukan perkara yang tidak pernah dia impikan.

"Dia adalah ayah dan datuk yang luar biasa, dan tetap tersemat dalam hati kami," katanya.

Kata Hannah, bapanya dirawat kerana penyakit radang paru-paru dialami sejak beberapa minggu dan seminggu kemudian disahkan positif COVID-19.