DUNIA
Kebakaran belukar cetus ancaman kesihatan di seluruh Queensland

Penduduk dinasihatkan untuk memantau tahap kualiti udara melalui laman rasmi kerajaan Queensland. - Foto X/Queensland Fire Department
BRISBANE: Beberapa kebakaran belukar yang sedang marak di seluruh Queensland, Australia telah mencetuskan amaran bahaya asap, dengan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk agar berwaspada terhadap gangguan kesihatan dan penglihatan di jalan raya.
Ringkasan AI
- Kebakaran belukar aktif di Queensland cetus amaran asap, menjejaskan kualiti udara dan penglihatan, dengan ratusan penduduk dipindahkan.
- Cuaca lembap sebelumnya tingkatkan risiko kebakaran, akibat bahan api kering yang terkumpul di kawasan belukar.
- Penduduk dinasihatkan ambil langkah berjaga-jaga, termasuk memantau kualiti udara dan mengurangkan aktiviti luar untuk elak kesan kesihatan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Queensland, semua kebakaran masih berada pada tahap nasihat (Advice level), dan tiada harta benda dilaporkan terancam setakat pagi Isnin.
Namun, asap tebal kekal sebagai ancaman utama, menjejaskan kualiti udara dan penglihatan di beberapa laluan utama.
Di Sunshine Coast, penduduk di sekitar Image Flat Road di Kulangoor dan Amamoor Creek Road di Amamoor Creek turut dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa kerana keadaan boleh berubah dengan pantas.
Cuaca lembap yang berpanjangan sebelum ini telah menyukarkan usaha pembakaran terkawal, sekali gus meningkatkan jumlah bahan api kering di kawasan belukar.
Ini menjadikan musim kebakaran tahun ini lebih berisiko, menurut Ketua Pegawai Rural Fire Service Queensland, Kaylene Jones.
“Walaupun kita menerima hujan yang banyak, ia tidak bermakna risiko kebakaran berkurang. Sebaliknya, ia meningkatkan beban bahan api yang kini mula kering dengan cepat,” katanya.
Pihak berkuasa turut menjalankan pembakaran udara di lokasi terpencil termasuk di K’Gari (Fraser Island), namun keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan operasi tersebut.
Penduduk dinasihatkan untuk memantau tahap kualiti udara melalui laman rasmi kerajaan Queensland, dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengurangkan aktiviti luar, menutup tingkap, serta menggunakan penapis udara jika perlu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami