INTERNATIONAL
Kebakaran hutan Australia: Pelajar Malaysia panik langit bertukar jingga di Canberra

Kebakaran hutan terburuk itu memusnahkan sehingga kira-kira 5 juta hektar kawasan tanah dan mengorbankan kira-kira 24 orang. - AP
"APABILA langit bertukar jingga, keadaanya agak pelik. Saya berasa takut kerana ia tidak pernah berlaku di Canberra."
Itulah perkongsian daripada pelajar Malaysia yang menetap di Canberra, Australia, Aiman Nasrullah Mohamad Arifin yang menjelaskan detik cemas yang dialaminya susulan kebakaran hutan di benua tersebut.
Aiman, 23, berkata dia sedar akan fenomena tersebut selepas bangun tidur pada pagi semalam.
“Kebiasaannya apabila bangun pagi, langit cerah. Tetapi semalam, langit itu berwarna kuning pada jam 9 pagi dan kelihatan seperti sudah petang.
“Ia agak pelik dan saya berasa takut kerana kejadian sebegitu tidak pernah berlaku di Canberra.
“Pada waktu petang, langit bertukar warna kepada jingga kemerahan.” kata Aiman ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Jelasnya, hujan yang turun memulihkan keadaan jerebu yang melanda susulan kebakaran hutan yang berlaku.
Bagaimanapun, Aiman dan rakan-rakannya nyata terjejas akibat kualiti udara yang merosot.
“Terdapat satu kebakaran hutan di kawasan barat daya Canberra di Taman Negara Namadgi yang terletak di sempadan New South Wales dan Canberra.
“Setakat hari ini, berita tempatan melaporkan pihak bomba masih lagi cuba untuk memadamkan kebakaran.
“Keadaan jerebu menyebabkan saya dan rakan-rakan batuk. Walaupun memakai topeng muka, asapnya terlalu tebal. Kami kurang meluangkan masa di luar rumah beberapa hari ini,” tambahnya.
Justeru, Aiman akui mempunyai perancangan untuk pulang ke tanah air buat seketika sehingga keadaan pulih.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami