NEVADA: Kebakaran hutan yang berlaku berhampiran Area 51, kemudahan rahsia Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di negeri Nevada, terus merebak dan setakat ini hanya berjaya dikawal sebanyak tujuh peratus, menurut Biro Pengurusan Tanah (BLM) AS.
Kebakaran yang dikenali sebagai 'Quail Springs Fire' itu dipercayai berpunca daripada sambaran petir dan telah marak hampir seminggu.
Keluasan kawasan terjejas kini melebihi 13,500 ekar atau kira-kira 54.6 kilometer persegi.
BLM berkata kebakaran terus merebak akibat kawasan berbukit dan sukar diakses, cuaca panas melampau dan angin kering yang menjejaskan operasi pemadaman.
Kawasan berkenaan juga berada di bawah amaran cuaca panas melampau sekurang-kurangnya sehingga Ahad, manakala tiada hujan dijangka dalam masa terdekat.
Menurut pihak berkuasa, tiada rumah atau kemudahan awam yang terancam setakat ini, namun penduduk di bandar kecil Rachel telah diberi amaran mengenai kemungkinan kesan asap akibat kebakaran tersebut.
Kebakaran itu berlaku di kawasan 'Nevada Test and Training Range (NTTR)', sebuah zon latihan dan ujian ketenteraan yang tertutup kepada orang awam.
NTTR terletak berhampiran Area 51, yang dibangunkan ketika era Perang Dingin sebagai pusat ujian dan pembangunan pesawat tentera.
Aktiviti di Area 51 sehingga kini kekal sulit, dengan kawasan berkenaan dikawal menerusi papan amaran, sistem pemantauan elektronik serta pengawal bersenjata.
Kerahsiaan itu turut mencetuskan pelbagai teori konspirasi selama beberapa dekad, termasuk dakwaan bahawa lokasi tersebut menempatkan makhluk asing dan objek terbang yang terhempas dari angkasa, dakwaan yang berulang kali dinafikan kerajaan AS.
Sementara itu, Nevada bukan satu-satunya negeri yang berdepan ancaman kebakaran hutan.
Di Oregon yang berjiran, lebih sejuta ekar tanah dilaporkan telah terbakar, manakala Kanada masih bergelut dengan ratusan kebakaran aktif di beberapa wilayah.