LIMA: Keiko Fujimori mengangkat sumpah sebagai presiden Peru bagi penggal 2026–2031 dalam satu upacara di Istana Perundangan di sini pada Selasa, lapor Xinhua.
Beliau menggariskan "hala tuju yang jelas" bagi pembangunan negara Andes itu dalam ucapan sulungnya selepas menerima selempang presiden dan berikrar untuk berusaha mencapai matlamat yang boleh diukur serta memelihara akauntabiliti.
Dalam "jangka masa pendek," kerajaannya akan menumpukan pada "dua bidang" kecemasan negara iaitu mengurangkan fenomena cuaca El Nino dan mengutamakan keselamatan awam.
Beliau merancang untuk melancarkan pelan kontingensi kebangsaan bertujuan "memecahkan logik tindak balas bertangguh" dan memulakan era pencegahan tepat pada masanya.
Mengambil kira perkara itu, beliau berkata kerajaan akan menyasarkan untuk "menuntut semula" setiap kawasan kejiranan, lebuh raya dan ruang awam bagi rakyat Peru, menggunakan semua kaedah yang disediakan oleh Perlembagaan untuk memerangi jenayah terancang, pengedaran dadah dan perlombongan haram.
Untuk melaksanakan langkah-langkah segera ke atas jenayah dan cuaca ekstrem, beliau mengumumkan bahawa cabang eksekutif akan mengeluarkan dekri kecemasan dan meminta Kongres memberikan kuasa perundangan kepada kerajaan.
Fujimori berkata matlamat kedua pentadbirannya adalah "meningkatkan kualiti hidup" rakyat, bermula dari peringkat kehamilan hingga usia tua, menerusi penambahbaikan program sosial dan perkhidmatan awam.
Matlamat ketiga pula adalah untuk mencapai kemampanan fiskal dengan menyusun semula akaun awam, menghapuskan perbelanjaan tidak perlu, serta mengurus sumber negara secara bertanggungjawab bagi membina keyakinan ekonomi, kata Fujimori.
Presiden baharu itu mengambil peluang untuk menegaskan bahawa di bawah pentadbirannya, dasar luar Peru akan diperkukuh, mengutamakan integrasi serantau dengan mempromosikan perjanjian dengan Perikatan Pasifik dan Komuniti Andes.
Beliau turut merancang untuk mengutamakan peranan Peru dalam forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik dan membuka "peluang baharu untuk pelaburan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di Timur Tengah."
Turut mengangkat sumpah dalam majlis itu Naib Presiden Pertama Luis Galarreta dan Naib Presiden Kedua Miguel Torres yang juga memegang jawatan sebagai Presiden Senat.
-- BERNAMA-XINHUA