KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa agar aspek seperti membuat keputusan tepat pada masanya, penyelarasan perancangan lebih baik serta kemampuan menyediakan infrastruktur sistem elektrik dapat dilaksanakan bagi mengelak sebarang kekangan yang boleh menjejaskan pertumbuhan negara.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata aliran bekalan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia juga perlu lebih fleksibel bagi membolehkan kerajaan dapat memberi tindak balas terhadap perubahan corak permintaan, menampung penjanaan tenaga elektrik baharu selain menyokong integrasi tenaga boleh baharu.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan bagi sistem elektrik Malaysia untuk bergerak seiringan dengan usaha pengembangan industri dan ekonomi yang semakin digital, terutamanya apabila keterjaminan tenaga menjadi asas pembangunan serta daya tahan ekonomi Malaysia.
“Sehubungan itu, infrastruktur yang kita bangunkan hari ini perlu menepati keinginan masa depan,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Kerja Jawatankuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Loji Janakuasa Edra Melaka (EMPP) di Melaka, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Fadillah mengingatkan bahawa setiap pelaburan dan kemajuan teknologi itu pada akhirnya perlu diterjemah dalam bentuk manfaat yang dapat dinikmati oleh rakyat.
Beliau berkata ini termasuk teknologi turbin gas yang terus berperanan penting dalam landskap penjanaan tenaga Malaysia.
Keupayaan teknologi itu bagi pembekalan tenaga elektrik yang dipercayai dan pengoperasian yang fleksibel, turut membantu menyokong kestabilan grid dan melengkapkan sumbangan oleh pelbagai tenaga boleh baharu.
“Kita perlu sentiasa mengambil kira ketidaktentuan yang berlaku di sekeliling kita. Ketegangan geopolitik, turun naik harga bahan api, gangguan rantaian bekalan serta risiko berkaitan perubahan iklim yang boleh menjejaskan ketersediaan dan kos tenaga.
“Cabaran ini memerlukan pertimbangan teliti dalam usaha kita untuk mengekalkan keterjaminan bekalan, memastikan kemampuan kos tenaga selain memenuhi komitmen iklim negara,” kata beliau.
Fadillah turut menekankan bahawa permintaan puncak tenaga di Semenanjung Malaysia mungkin meningkat secara ketara dalam tempoh kurang daripada sedekad.
Merujuk unjuran pertumbuhan kerajaan, beliau berkata permintaan puncak tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat daripada 21.3 gigawatt pada 2026 kepada 33.5 gigawatt menjelang 2035.
“Ini merupakan peningkatan yang ketara dalam tempoh kurang daripada sedekad,” kata beliau.
Fadillah berkata peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam sektor pusat data, kecerdasan buatan (AI), pembuatan semikonduktor dan industri bernilai tinggi lain turut menawarkan peluang besar selain cabaran.
“Pelaburan ini dapat mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh perusahaan tempatan serta melonjakkan kemampuan teknologi kita. Pada masa sama, ini turut meningkatkan permintaan terhadap sistem bekalan elektrik dan infrastruktur sokongan negara,” kata beliau.
Fadillah berkata keperluan itu dapat dilihat menerusi pembangunan pusat data yang sedang berkembang di Melaka.
Peluang yang sedang diteroka menerusi kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (MCorp) dan Edra, juga dapat mengukuhkan kepentingan menyelaraskan pelaburan digital dengan ketersediaan bekalan elektrik, kapasiti grid, air serta kemudahan utiliti penting lain.
Keadaan itu, kata Fadillah, memerlukan pelaburan yang merentasi keseluruhan sistem bekalan elektrik, daripada peringkat penjanaan hingga penghantaran dan pengagihan tenaga itu.
Beliau berkata sesebuah loji janakuasa baharu hanya dapat memenuhi fungsinya apabila wujudnya rangkaian sistem yang lebih luas yang berupaya menyalurkan tenaga elektrik yang dijana secara selamat serta cekap ke lokasi yang memerlukannya.
Atas alasan itu, beliau berkata kerajaan sememangnya memberi penekanan tinggi terhadap usaha memperkukuh kapasiti serta daya tahan grid nasional dan amat memerlukan tumpuan berterusan terhadap aspek pembangunan grid, pendigitalan dan pengurusan permintaan tenaga.
“Tanggungjawab kita adalah untuk menterjemahkan hala tuju ini kepada pelaksanaannya. Ini bermakna kita perlu menetapkan pencapaian pelaksanaan yang jelas, memastikan tadbir urus mantap serta memperkukuh penyelarasan antara kerajaan dengan pihak industri.
“Kita juga perlu bersikap terbuka untuk menilai semula andaian apabila keadaan berubah dan kekal teguh dalam usaha mencapai matlamat negara,” kata beliau.
-- BERNAMA