MELBOURNE: Kira-kira satu daripada 15 orang dewasa di Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AS) pernah mengalami penderaan berasaskan imej janaan kecerdasan buatan (AI), menurut satu kajian yang diketuai oleh RMIT University di Australia, lapor Xinhua.
Kaji selidik terhadap lebih 7,200 orang dewasa di ketiga-tiga negara itu mendapati tujuh peratus pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk penderaan sedemikian sejak berusia 18 tahun.
Kadar berkenaan mencatatkan angka lebih tinggi sedikit di Australia, iaitu pada 7.7 peratus, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RMIT University pada Rabu.
Kajian itu mendapati penderaan berkenaan merangkumi penciptaan atau pengubahan imej intim menggunakan AI tanpa kebenaran, penyebaran imej intim janaan AI tanpa persetujuan, atau diugut dengan pendedahan imej sedemikian.
Hampir 87 peratus mangsa yang terselamat melaporkan sekurang-kurangnya satu kesan terhadap kehidupan mereka, termasuk impak kepada kesihatan dan kesejahteraan, hubungan, pekerjaan mahupun kewangan.
Kajian itu turut menemukan bahawa golongan lelaki melaporkan pengalaman penderaan seumpama itu lebih dua kali ganda berbanding wanita, iaitu 10.2 peratus berbanding 3.8 peratus.
Bagaimanapun, wanita merekodkan lebih banyak reaksi dan kesan negatif, termasuk kebimbangan terhadap keselamatan diri serta impak kepada kesihatan mental dan fizikal mereka.
Penulis utama Profesor Nicola Henry daripada RMIT berkata dapatan itu mendedahkan tahap penderaan berkenaan dalam masyarakat secara meluas, dan bukan sekadar menyasarkan golongan selebriti mahupun tokoh masyarakat semata-mata.
Kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Human-Computer Interaction itu menekankan keperluan bagi syarikat teknologi memikul tanggungjawab lebih besar dalam mencegah penderaan berasaskan imej janaan AI sebelum ia berlaku, kata Henry.
-- BERNAMA-XINHUA