DUNIA
Kekurangan bantuan di Gaza semakin meruncing, kebuluran kanak-kanak meningkat - PBB

Penduduk Palestin menunggu untuk menerima makanan daripada dapur amal di Gaza City, di tengah-tengah krisis kebuluran. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memberi amaran bahawa bantuan yang memasuki Gaza masih jauh daripada mencukupi untuk menangani krisis kebuluran yang semakin meruncing di tengah-tengah sekatan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Jumlah bantuan dan barangan yang dapat dibawa masuk ke Gaza tidak memenuhi keperluan minimum penduduk yang sedang kelaparan," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada pemberita, sambil menegaskan bahawa gencatan senjata adalah "amat diperlukan" untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan memastikan aliran bantuan yang berterusan.
Merujuk kepada Kementerian Kesihatan Gaza, Dujarric berkata, lapan orang termasuk tiga kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran dalam tempoh 24 jam lalu.
"Laporan seperti ini telah menjadi kebiasaan," katanya.Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengadakan latihan penyegaran di Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi, satu daripada hanya dua pusat penstabilan nutrisi di Bandar Gaza bagi mengemas kini pengetahuan kakitangan mengenai pengurusan kekurangan zat makanan dalam kalangan pesakit yang dirawat.
Jurucakap PBB itu berkata, peningkatan mendadak kes kekurangan zat makanan membabitkan kanak-kanak telah memaksa peluasan kemudahan itu, dengan lebih 340 kanak-kanak menerima rawatan setakat tahun ini.
Sehingga 5 Ogos, sekurang-kurangnya 49 kematian kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan disahkan, termasuk 39 yang berusia bawah lima tahun, kata Dujarric.
Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza selama 18 tahun dan menutup semua lintasan sempadan pada 2 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang dimeterai pada Januari, termasuk menyekat akses bantuan kemanusiaan.
Israel baru-baru ini hanya membenarkan bantuan terhad melalui sebuah organisasi yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, iaitu Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
Pasukan dan kontraktor Israel didakwa melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang mendapatkan bantuan, mengorbankan hampir 1,400 orang dan mencederakan lebih 4,000 sejak akhir Mei, iaitu ketika GHF mula beroperasi, menurut PBB.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami