Skip to main content

Malaysia

Sarawak perlu bangun kepakaran tempatan dalam teknologi aeroangkasa - Abang Johari

KUCHING, 27 April -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Gas-To-Energy Cogeneration Prototype di Kuching Integrated Waste Management Park (KIWMP), Mambong, hari ini._BERNAMA
Abang Johari berkata cita-cita teknologi Sarawak tidak hanya terhad kepada makmal penyelidikan atau taman perindustrian, tetapi sedang diterjemahkan kepada pembangunan infrastruktur dan teknologi. - Gambar fail/Bernama

KUCHING: Sarawak sedang meletakkan asas untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang aeroangkasa, kejuruteraan satelit, analitik data serta teknologi komunikasi masa hadapan sebagai persediaan menceburi sektor aeroangkasa dan satelit. 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu amat penting dan selaras dengan rancangan negeri untuk meneroka sektor tersebut yang dijangka memainkan peranan strategik dalam pembangunan masa hadapan. 

“Kita sedang membangunkan nanosatelit pertama menggunakan teknologi CubeSat yang disasarkan dilancarkan menjelang 2030. Satelit Orbit Bumi Rendah (LEO) ini akan menyokong perkhidmatan geolokasi masa nyata, pemantauan perhutanan, pengawasan maritim, pengurusan bencana dan keupayaan pemerhatian bumi.

“Oleh itu, Sarawak mesti mula membuat persediaan sekarang untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang aeroangkasa, kejuruteraan satelit, analitik data dan teknologi komunikasi masa hadapan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2026 hari ini.

Abang Johari berkata cita-cita teknologi Sarawak tidak hanya terhad kepada makmal penyelidikan atau taman perindustrian, tetapi sedang diterjemahkan kepada pembangunan infrastruktur dan teknologi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga memajukan agenda transformasi digital melalui pembangunan Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) Kuching di Tanjung Embang yang meliputi kawasan seluas kira-kira 405 hektar.

“Kampus ini akan bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan grid AI serantau, memperkukuh ekosistem digital Sarawak serta menarik pelaburan global berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang dijadualkan memulakan operasi pada suku keempat tahun ini akan meletakkan Kuching sebagai model utama bagi pengangkutan bandar berkuasa hidrogen di ASEAN.

Beliau berkata projek itu juga akan menunjukkan keupayaan Sarawak untuk mengintegrasikan tenaga boleh baharu, sistem berasaskan AI dan penyelesaian mobiliti canggih ke dalam ekosistem bandar yang komprehensif.

Menerusi perutusan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak terus bersatu dan menyokong agenda pembangunan negeri untuk memastikan transformasi yang berterusan mewujudkan lebih banyak peluang, meningkatkan taraf hidup dan menjamin kemakmuran untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement