LONDON: Adik lelaki Raja England, Raja Charles III telah ditahan pihak berkuasa.
Polis menggeledah dua hartanah diraja dan media tidak henti-henti membincangkan butiran skandal seks yang rangkaiannya sampai ke pintu Istana Buckingham.
Advertisement
Justeru, bagaimana keluarga diraja Britain menghabiskan petang Khamis lalu?
Raja Charles duduk di barisan hadapan pada hari pertama Minggu Fesyen London.
Permaisuri Camilla pula menghadiri konsert tengah hari sementara Puteri Anne melawat sebuah penjara.
Keputusan untuk meneruskan tugas rasmi seperti biasa bukan sekadar contoh bagiamana tenangnya British dalam menghadapi krisis terbesar monarki dalam hampir satu abad.
Ia adalah langkah pembukaan dalam usaha House of Windsor untuk mempertahankan kelangsungan institusi, ketika penangkapan bekas Putera diraja, Andrew mengancam sokongan awam terhadap monarki.
Selepas berikrar untuk menyokong siasatan polis terhadap hubungan adiknya dengan mendiang pesalah seks yang disabitkan, Jeffrey Epstein, Raja Charles menegaskan prinsip baginda.
“Saya dan keluarga akan terus menjalankan tugas dan khidmat kepada anda semua,” katanya dalam satu kenyataan yang ditandatangani “Charles R.”, singkatan bagi Rex iaitu perkataan Latin untuk raja.
Krisis terbesar sejak pengguguran takhta pada 1936
Hakikat bahawa Raja Charles membuat kenyataan itu menunjukkan betapa seriusnya masalah yang tercetus akibat penangkapan adinda baginda yang kini berusia 66 tahun - kini dikenali sebagai Andrew Mountbatten-Windsor — yang ditahan selama 11 jam sebelum dilepaskan dengan status “dibebaskan sambil disiasat”, bermaksud beliau tidak didakwa tetapi juga tidak dibersihkan.
Peristiwa itu begitu luar biasa sehingga para penganalisis terpaksa merujuk kembali ke tahun 1640-an, ketika Raja Charles I ditangkap dan dihukum mati semasa Perang Saudara England, untuk mencari persamaan.
Penangkapan Mountbatten-Windsor atas syak wasangka salah laku dalam jawatan awam terbentuk sebagai krisis terbesar monarki sejak Edward VIII turun takhta pada 1936 untuk mengahwini seorang janda Amerika, Wallis Simpson.
Skandal itu melemahkan sokongan awam terhadap monarki sehingga mengambil masa 15 tahun untuk pulih sepenuhnya.
Pemulihan hanya bermula selepas pengganti Edward, Raja George VI, enggan meninggalkan Britain semasa Perang Dunia II, menunjukkan solidaritinya dengan rakyat di bawah serangan bom Nazi.
Walaupun sebelum menaiki takhta, Ratu Elizabeth II mengikuti jejak ayahandanya dan berikrar untuk mendedikasikan hidupnya kepada khidmat rakyat Britain.
Namun, walaupun kesan pengguguran takhta Edward berlarutan selama bertahun, krisis itu memuncak hanya dalam beberapa hari.
Dan penyelesaiannya agak mudah: Edward berundur, lalu abangnya mengambil alih takhta.
Sebaliknya, drama sekitar Mountbatten-Windsor masih berlarutan, tanpa penghujung yang jelas.
Tiada ‘jalan penyelesaian yang jelas’
Krisis semasa berpunca daripada pendedahan mengenai hubungan antara bekas putera itu dan Epstein yang didedahkan selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) menerbitkan berjuta-juta halaman dokumen bulan lalu daripada siasatan mereka terhadap Epstein.
Polis sebelum ini merujuk laporan bahawa Mountbatten-Windsor menghantar maklumat perdagangan kepada Epstein, seorang pelabur kaya, pada 2010 ketika bekas putera itu merupakan Utusan Khas Britain bagi perdagangan antarabangsa.
Sekurang-kurangnya lapan pasukan polis di United Kingdom telah mengatakan mereka sedang meneliti isu-isu yang timbul daripada dokumen tersebut.
Berbanding skandal diraja yang lalu, “kali ini tidak nampak ada jalan keluar yang jelas,” kata Ed Owens, penulis After Elizabeth: Can the Monarchy Save Itself?
“Tiada pelan yang boleh diikuti” bagi monarki untuk menangani dakwaan ini.
Kali terakhir monarki berdepan persoalan seperti ini ialah selepas kematian Puteri Diana, bekas isteri Raja Charles.
Elizabeth dan Charles dikritik kerana gagal memberi respons terhadap gelombang kesedihan awam ketika puluhan ribu rakyat membanjiri Kensington Gardens untuk meletakkan bunga di luar kediaman Diana.
Ada yang malah menyeru Charles melepaskan kedudukan pewaris takhta kepada anaknya, William.
Ratu kemudian melantik kumpulan fokus untuk memahami perasaan awam dan mengkaji mengapa rakyat begitu terkesan dengan seseorang yang tidak mereka kenali secara peribadi.
Krisis itu memaksa keluarga diraja menyedari bahawa sentuhan rakyat marhaen yang dimiliki Diana telah menyentuh hati masyarakat dengan cara yang belum pernah dilakukan House of Windsor.
Pelajaran itu mengilhamkan generasi diraja seterusnya, termasuk anak Diana - Putera William dan Harry untuk lebih bersifat santai dan mudah didekati.
Tetapi saat ini berbeza, sebahagiannya kerana ia berlaku dalam landskap media yang berubah pantas, ketika rakyat menuntut ketelusan daripada pemimpin mereka.
Keluarga mungkin berdepan soalan yang tidak selesa
Untuk bergerak ke hadapan, mereka juga perlu berdepan soalan-sualan sukar tentang apa yang mungkin diketahui oleh institusi - dan ahli keluarga mengenai aktiviti Mountbatten-Windsor.
Istana telah berusaha menarik garis tegas memisahkan bekas putera itu daripada institusi dengan melucutkan semua gelaran rasminya, termasuk hak untuk dipanggil putera.
Dalam tamparan terbaharu kepada beliau, kerajaan Britain sedang mempertimbangkan untuk memadamkan namanya daripada senarai pewaris takhta secara rasmi.
Walaupun kehilangan gelaran dan penghormatan, Andrew masih berada di tempat kelapan dalam barisan pewarisan - sesuatu yang hanya boleh diubah melalui undang-undang.
Charles ialah raja pertama “yang perlu memenuhi harapan rakyat terhadap tokoh awam iaitu untuk bertanggungjawab dan menjelaskan tindakan anda,” kata Craig Prescott, pakar monarki di Royal Holloway, University of London.
“Dan anda sentiasa perlu bekerja keras untuk meraih sokongan awam. Itu cabaran besar bila berdepan kontroversi seperti Andrew Mountbatten-Windsor.”
Pengkritik berhujah bahawa monarki lambat bertindak balas terhadap tekanan ini, memandangkan hubungan Mountbatten-Windsor dengan Epstein telah diperkatakan selama lebih sedekad.
Menurut Peter Hunt, bekas koresponden diraja BBC, hasil terbaik bagi monarki adalah jika siasatan polis tertumpu sepenuhnya pada maklumat dalam fail Epstein dan kaitannya dengan Mountbatten-Windsor.
Hasil paling buruk ialah jika polis meluaskan siasatan kepada apa yang mungkin diketahui oleh institusi diraja dan bila mereka mengetahuinya.
“Adakah persoalan pernah dibangkitkan tentang kelakuannya sebagai utusan perdagangan sepanjang 10 tahun itu? Adakah dijawab? Apa yang dilakukan orang terhadapnya?” kata Hunt di BBC.
Dan mungkin masih ada lagi yang belum terdedah.
“Adakah akan ada fail?” soal Hunt lagi. - Agensi