CIREBON: Kemarau yang didorong fenomena El Nino memberi manfaat kepada pengusaha garam di Indonesia apabila pengeluaran meningkat dengan ketara, namun pada masa sama menimbulkan cabaran besar kepada petani tanaman yang berdepan cuaca panas dan kering berpanjangan.
Kepulauan terbesar di Asia Tenggara itu kini berdepan fenomena El Nino yang semakin kuat, corak iklim yang lazimnya membawa cuaca lebih panas dan kering di kebanyakan kawasan rantau ini, sekali gus meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan kerugian hasil pertanian.
Menjelang Julai, lebih separuh zon bermusim di Indonesia dilanda musim kering yang berlanjutan lebih lama daripada jangkaan dan dijangka memuncak pada Ogos.
Agensi cuaca Indonesia turut memberi amaran bahawa kesan El Nino dijangka berterusan sehingga awal 2027.
Sehingga bulan lalu, lebih 5,000 titik panas dikesan di seluruh negara, menunjukkan peningkatan ketara berbanding episod El Nino sebelum ini.
Sebahagian besar pengeluaran garam Indonesia bergantung kepada kaedah tradisional yang menggunakan proses penyejatan air laut di kolam cetek berhampiran pantai ketika musim kemarau.
Di daerah Cirebon, Jawa Barat, para petani menghabiskan masa berjam-jam mengikis kristal garam daripada dasar kolam sebelum mengumpulkannya untuk dipasarkan.
Hujan walaupun dalam tempoh singkat boleh menjejaskan proses itu serta mengurangkan pengeluaran dan kualiti garam.
Ketua kumpulan petani garam tempatan, Dadang Darmawan, 45, menyifatkan El Nino sebagai satu rahmat kepada pengusaha garam.
“Bagi kami, El Nino adalah satu berkat dan rahmat. Ia sesuatu yang patut kami syukuri,” katanya.
Menurut beliau, petani garam berharap fenomena itu berlaku setiap tahun kerana mampu meningkatkan pengeluaran dengan ketara.
Pegawai Agensi Keselamatan Makanan dan Perikanan Daerah Cirebon, Sudiharjo, berkata pengeluaran garam di daerah itu mencecah hampir 600 tan metrik pada Julai, berbanding hanya 25 hingga 30 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau menjangkakan Cirebon akan mencatat hasil tuaian garam yang tinggi tahun ini berikutan cuaca kering dijangka berterusan sehingga Oktober.
Kawasan ladang garam di Cirebon meliputi kira-kira 1,400 hektar dan merupakan sebahagian daripada 10 wilayah pengeluar garam utama di Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 pulau serta garis pantai yang luas.
Data Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia menunjukkan pengeluaran garam negara menurun kepada satu juta tan tahun lalu susulan musim kering yang lebih singkat daripada biasa dan diikuti fenomena La Nina yang membawa cuaca lebih basah.
Sebagai perbandingan, pengeluaran negara mencecah 2.5 juta tan ketika El Nino melanda pada 2023.
Presiden Persatuan Industri Pengguna Garam Indonesia, Cucu Sutara, berkata pengeluaran garam negara dijangka meningkat berikutan tempoh cuaca kering yang lebih panjang, namun tidak memberikan unjuran khusus.
Keuntungan yang dinikmati pengusaha garam itu berbeza dengan nasib petani tanaman yang kini mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kesan cuaca ekstrem terhadap hasil pertanian mereka.
Agensi cuaca Indonesia telah menasihatkan petani supaya menyesuaikan jadual penanaman dan aktiviti pertanian dengan keadaan cuaca semasa.
Seorang petani garam berusia 39 tahun yang dikenali sebagai Darminto berkata beliau memahami kesukaran yang dihadapi petani tanaman akibat El Nino, namun berharap musim kering itu dapat berlanjutan.
“Harapan saya ialah musim panas ini berterusan lebih lama supaya saya dapat menjana pendapatan dan menyimpan lebih banyak garam,” katanya.