Ringkasan AI
- Seramai 41,958 warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu pada Oktober lalu, menurut SPR.
- Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober 2026 turut merekodkan 17,076 pertukaran bahagian pilihan raya dan 4,109 pertukaran kategori atau status pengundi.
- Semakan daftar pemilih dibuka selama 60 hari sehingga 21 Januari 2027 melalui portal rasmi SPR, aplikasi MySPR Semak, atau talian hotline.
PUTRAJAYA: Sebanyak 41,958 warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang Oktober lepas, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pendaftaran itu terkandung dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober 2026 (DPT BLN10/2026) yang diwartakan hari ini dan dibuka untuk semakan selama 60 hari hingga 21 Jan 2027.
Selain pemilih baharu, beliau berkata daftar berkenaan turut merekodkan 17,076 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 4,109 pemilih yang membuat pertukaran kategori atau status pengundi.
"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Okt hingga 31 Okt 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2026," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata individu yang mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam daftar berkenaan boleh mengemukakan tuntutan dengan mengisi Borang C menerusi aplikasi dalam talian MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkaitan.
Beliau berkata pemilih berdaftar yang ingin membantah kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya mereka pula boleh mengemukakan bantahan menggunakan Borang D.
Khairul Shahril berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan, iaitu menerusi portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi dalam talian myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak serta talian hotline 03-8892 7218.
Beliau berkata borang tuntutan dan bantahan juga boleh dimuat turun menerusi portal SPR sebelum dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkaitan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2026.
Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN10/2026, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
-- BERNAMA