Skip to main content

Dunia

Kematian akibat demam campak di Bangladesh melebihi 600 ketika wabak terus menular

Sumber: Adobe Stock
Bangladesh pada Rabu melaporkan tujuh lagi kematian berkaitan wabak demam campak, menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang disahkan dan disyaki akibat penyakit itu meningkat kepada 601 orang sejak pertengahan Mac. - Gambar hiasan Adobe Stock

DHAKA: Bangladesh pada Rabu melaporkan tujuh lagi kematian berkaitan wabak demam campak, menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang disahkan dan disyaki akibat penyakit itu meningkat kepada 601 orang sejak pertengahan Mac, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Daripada jumlah itu, 90 kematian disahkan secara perubatan berpunca daripada demam campak, menurut Direktorat Awam Perkhidmatan Kesihatan.

Pihak berkuasa kesihatan turut merekodkan lebih 1,250 kes baharu yang disyaki dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes disyaki mencecah 83,763.

Daripada jumlah itu, 9,191 kes disahkan melalui ujian makmal.

Bangladesh, yang mempunyai kira-kira 175 juta penduduk, berdepan kesukaran untuk mengesahkan jangkitan dengan pantas berikutan kekurangan kit ujian.

Pejabat UNICEF di Dhaka menyatakan bahawa liputan vaksin yang tidak mencukupi selama bertahun-tahun, masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan ibu dan kanak-kanak serta kadar penyusuan susu ibu yang rendah merupakan antara faktor yang menyumbang kepada penularan wabak dan kelemahan sistem imun kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Bangladesh memaklumkan lebih 18.45 juta kanak-kanak menerima vaksin berbanding sasaran awal sebanyak 18 juta, manakala kempen imunisasi masih diteruskan.

Pakar epidemiologi, Dr. Mushtaq Hussain berkata, perancangan mikro perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada liputan vaksinasi.

“Ini adalah program vaksinasi kecemasan dan terdapat kekurangan dari segi reka bentuk pelaksanaannya untuk mencapai setiap pelosok negara. 

"Oleh itu, perancangan mikro amat penting bagi mencapai liputan melebihi 95 peratus untuk membendung jangkitan demam campak,” katanya.

Beliau yang juga bekas penasihat kepada Institut Epidemiologi, Kawalan dan Penyelidikan Penyakit (IEDCR) berkata, kanak-kanak yang sering berpindah-randah atau tinggal di kawasan setinggan di ibu negara memerlukan perhatian khusus, termasuk akses kepada program vaksinasi dan pemakanan.

Hussain turut menekankan kepentingan mengasingkan pesakit yang dijangkiti, khususnya di komuniti miskin dan luar bandar, bagi membantu mengurangkan penularan penyakit.

Daripada jumlah keseluruhan kematian yang disyaki, sebanyak 264 kes dilaporkan di Bahagian Dhaka.

Walaupun wabak itu masih serius, beliau berkata, keadaan di ibu negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan kebanyakan kes yang lebih kritikal kini dilaporkan dari luar kawasan Dhaka.

“Hospital di Dhaka mencatatkan jumlah kematian yang lebih tinggi kerana sistem penjagaan kesihatan yang berpusat dan pesakit dari seluruh negara datang ke Dhaka untuk mendapatkan rawatan lanjutan,” jelasnya.

Demam campak ialah penyakit virus yang sangat mudah berjangkit dan kebanyakannya menyerang kanak-kanak. 

Ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru, keradangan otak dan kematian, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan atau tidak menerima vaksin.

Penyakit itu kekal sebagai antara punca utama kematian kanak-kanak yang sebenarnya boleh dicegah melalui vaksinasi di seluruh dunia.

--BERNAMA-ANADOLU

 

.

Must Watch Video

Advertisement