MEMBIMBANGKAN!

Satu kajian dKolej Perubatan Universiti Schmidt Florida Atlantic di Florida, Amerika Syarikat mendedahkan kematian kanak-kanak di negara Uncle Sam itu akibat senjata api meningkat secara mendadak antara tahun 2013 dan 2017.

Secara harafiah, fakta berkenaan sangat membimbangkan terutamanya jika melihat 'hubungan' negara itu dengan senjata api.

Di AS, kanak-kanak maut ditembak pada kadar enam hingga sembilan kali ganda lebih tinggi daripada negara maju lain.

Pada tahun 2017, 144 pegawai polis dan 1,000 ahli tentera AS terbunuh ketika bertugas di seluruh dunia. Pada tahun yang sama, 2,462 kanak-kanak AS terbunuh oleh senjata api.

Dalam erti kata lain, jumlah kanak-kanak yang dibunuh akibat senjata api dua kali ganda lebih tinggi daripada gabungan jumlah kematian pegawai polis dan tentera pada tahun 2017.

Walaupun alasan boleh diberi bahawa terdapat lebih banyak kanak-kanak daripada pegawai polis dan askar di AS, namun kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ribuan kanak-kanak tidak bersalah terbunuh setiap tahun.

Tidak ada cara untuk membuat statistik ini masuk akal selain daripada mengakui bahawa wujudnya isu yang serius mengenai hubungan negara AS dengan senjata api.

Beberapa media antarabangsa turut memetik, perkara yang paling merisaukan tentang pembunuhan kanak-kanak akibat senjata api ini adalah masih ramai rakyat AS tidak melihat isu ini secara serius.

Risiko bagi rakyat AS untuk maut akibat senjata api lebih besar daripada lemas, ditikam, tercekik pada makanan, kemalangan kapal terbang, serangan haiwan, dan bencana alam.

Kerajaan AS telah cuba menakutkan rakyatnya untuk mempercayai bahawa pengganas dari Timur Tengah adalah ancaman terbesar terhadap keselamatan negara, malah melarang pelancong dari negara-negara tertentu ke AS atas nama ancaman itu.

Namun, kebarangkalian rakyat AS dibunuh oleh senjata api secara tidak sengaja hampir lima kali ganda lebih tinggi daripada dibunuh oleh seorang pengganas dari negara asing.

Ia tidak mustahil untuk menghormati hak perlembagaan AS memiliki senjata dan pada masa yang sama menyokong undang-undang senjata api yang munasabah.

Terdapat banyak negara selain AS di seluruh dunia di mana rakyatnya memiliki senjata api tetapi mempunyai kadar kematian akibat senjata api yang jauh lebih rendah bebanding AS.

Menurut laman web Akademi Pediatrik Amerika, keganasan senjata api sudah dikategorikan sebagai epidemik kesihatan awam dan ia membunuh kanak-kanak pada kadar yang amat membimbangkan.

“Kita perlu melaksanakan penyelesaian logikal yang telah terbukti dapat mengurangkan kecederaan dan kematian ini,” ujarnya lagi.