Skip to main content
Advertisement

Dunia

Kemboja tegaskan wilayahnya tidak lagi dibenarkan jadi pusat penipuan dalam talian

51753736400_HUNMANET.jpg
Kerajaan pimpinan Hun Manet mengambil langkah drastik sejak dua tahun lepas untuk membanteras penipuan dalam talian dan perjudian tanpa lesen. - Gambar fail
Advertisement

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet memberi amaran keras kepada pengendali penipuan dalam talian bahawa negara itu tidak akan sekali-kali menjadi hab jenayah siber lagi.

“Kemboja tidak akan menjadi tempat perlindungan bagi penipuan dalam talian. Jenayah rentas sempadan ini merupakan fenomena baharu pasca-COVID-19. Kemboja tidak akan membenarkan sindiket jenayah menjejaskan kemajuan negara kami  dan mata pencarian 17 juta rakyat Kemboja,” kata Perdana Menteri itu pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Memerangi Penipuan Dalam Talian, yang berlangsung di Phnom Penh dari 23 hingga 24 Sept.

Kerajaan pimpinan Hun Manet mengambil langkah drastik sejak dua tahun lepas untuk membanteras penipuan dalam talian dan perjudian tanpa lesen selepas mendapat perhatian serius masyarakat antarabangsa.

Agensi penguatkuasaan undang-undang mengusir lebih 45,000 warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tahun ini dan menutupi lebih 650 pusat penipuan setakat Ogos.

Pihak berkuasa juga membekukan lebih US$300 juta (RM1.2 bilion) dalam akaun bank yang dikaitkan dengan jenayah penipuan dalam talian dari Julai 2025 hingga Ogos tahun ini.

Skala jenayah rentas sempadan itu telah mencapai tahap membimbangkan, menuntut komuniti global menangani isu berkenaan secara kolektif dengan berkongsi maklumat risikan, menjejaki dana haram dan membanteras pemerdagangan manusia.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), mangsa penipuan dalam talian di Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand kerugian sehingga AS$114 bilion (RM465 bilion) tahun lepas.

Wakil Wilayah UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Delphine Schantz berkata, penipuan dalam talian telah bertukar menjadi rangkaian jenayah yang rumit dan mengancam syarikat serta orang awam.

“Angka ini meningkat dengan pantas di Asia Tenggara dan di seluruh dunia, manakala corak jenayah ini turut berubah,” katanya sambil menambah bahawa ia juga memicu jenayah lain seperti pemerdagangan manusia.

Sementara itu, China menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi membanteras jenayah siber, yang berkembang menjadi ancaman utama kepada keselamatan nasional dan wilayah, selain menyebabkan mangsa yang tidak bersalah kehilangan wang simpanan seumur hidup mereka.

Naib Menteri Keselamatan Awam China, Yang Weilin berkata, China sedia bekerjasama di peringkat bilateral dan multilateral untuk membasmi jenayah berkaitan telekomunikasi yang kini merebak ke pelbagai benua.

“China mempunyai penyelesaian, keupayaan tindakan keras dan pencegahan. China mempunyai toleransi sifar terhadap penipuan telekomunikasi. Penipuan telekomunikasi menjadi ancaman keselamatan antarabangsa dan wilayah, serta tiada negara yang mampu menangani isu ini secara bersendirian,” katanya pada persidangan itu.

--  BERNAMA  

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement