DUNIA
Kemboja, Thailand mulakan rundingan isu sempadan susulan ketegangan terkini

Kemboja akan menjemput Thailand membawa empat kawasan sempadan yang dipertikaikan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
PHNOM PENH: Mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) Kemboja-Thailand diadakan di ibu negara Kemboja pada Sabtu bagi membincangkan isu sempadan susulan pertempuran tentera kedua-dua negara baru-baru ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Lam Chea, Menteri yang bertanggungjawab ke atas Sekretariat Negara bagi Hal Ehwal Sempadan Kemboja dan Prasas Prasasvinitchai, bekas Duta Thailand ke Kemboja merangkap penasihat hal ehwal sempadan kepada Kementerian Luar Thailand.
Wartawan dibenarkan merakam foto dan video sesi pembukaan mesyuarat selama beberapa minit sebelum diminta keluar dari bilik persidangan.
Mesyuarat itu diadakan susulan pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara di kawasan Mom Bei, atau Segi Tiga Zamrud, pada 28 Mei lalu yang mengakibatkan kematian seorang anggota tentera Kemboja.Mom Bei, atau Segi Tiga Zamrud, merupakan kawasan sempadan yang dikongsi antara Kemboja, Thailand dan Laos.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook beliau pada malam Jumaat berkata mesyuarat JBC itu merupakan yang pertama diadakan selepas 12 tahun.
Beliau berkata semasa mesyuarat itu, Kemboja akan menjemput Thailand membawa empat kawasan sempadan yang dipertikaikan - iaitu Mom Bei, Kuil Ta Moan Thom, Kuil Ta Moan Tauch dan Kuil Ta Krabei ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
"Saya ingin mengesahkan kepada rakyat bahawa walaupun Thailand enggan atau berdiam diri, Kemboja akan meneruskan langkah itu secara unilateral," kata Hun Manet. "Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa akan menghantar surat rasmi kepada ICJ pada Ahad, 15 Jun 2025, berhubung pertikaian di keempat-empat kawasan berkenaan," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami