NEW DELHI: Kenyataan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi akan berteraskan kerangka menyeluruh "Kemanusiaan Diutamakan" (Humanity First).
Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India, Sharifah Ezneeda Wafa berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan Kenyataan Negara tersebut semasa sesi pembukaan sidang kemuncak pada 13 September di Bharat Mandapam.
Menurut beliau, keutamaan yang dibawa oleh India selaku pengerusi sidang kemuncak kali ini amat bertepatan dengan aspirasi negara.
"Keutamaan India seperti daya tahan ekonomi, transformasi digital, dan pembangunan mampan sejajar dengan kepentingan Malaysia.
"Perdana Menteri akan berkongsi pandangan Malaysia untuk sistem antarabangsa yang inklusif, saksama, dan bermanfaat, serta menekankan kepentingan suara Global South," katanya dalam sesi taklimat media di sini pada Khamis.
Beliau menambah, penegasan berkenaan mencerminkan pegangan Putrajaya dalam urusan antarabangsa.
"Ini mencerminkan dasar luar Malaysia yang berprinsip, seimbang, dan pragmatik," jelasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berada di India selama empat hari bermula 11 hingga 14 September 2026. Jadual beliau dibahagikan kepada dua segmen utama, iaitu menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 serta siri mesyuarat dua hala di New Delhi pada 11 hingga 13 September.
Beliau kemudian akan berlepas ke Keralam bagi sesi pertemuan keagamaan dan ekonomi serantau pada 13 hingga 14 September.
Sebagai rekod, ini merupakan lawatan kerja kedua beliau ke India sepanjang memegang tampuk pentadbiran negara.
Lawatan rasmi pertama beliau sebelum ini berlangsung selama tiga hari pada 19 hingga 21 Ogos 2024 di New Delhi, yang menyaksikan pemeteraian peningkatan status hubungan dua hala Malaysia-India kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Mengulas mengenai penglibatan dalam blok berkenaan, Sharifah Ezneeda berkata BRICS menawarkan potensi besar untuk memajukan kekuatan ekonomi negara anggota mahupun rakan.
"Saiz pasaran kumulatif BRICS meliputi 3.88 bilion penduduk dunia dengan KDNK USD 29.85 trilion, iaitu kira-kira 27.1 peratus daripada KDNK global.
"Penyertaan ini memberi peluang untuk membuktikan kebijakan Malaysia di peringkat global yang akan melengkapkan peranan aktif dalam kerangka pelbagai hala seperti ASEAN, PBB, dan OIC," katanya.
Sidang kemuncak BRICS kali ini membawa tema "Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability, Shaping the Future for Inclusive Global Growth".