Skip to main content

Malaysia

SPRM perkukuh tatakelola pengurusan kontrak sewaan di JPN

PUTRAJAYA, 3 Sept -- Logo Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
Syor itu ialah hasil penyiasatan tatakelola BPT SPRM yang memberi tumpuan terhadap pengurusan pemberian kontrak sewaan ruang berkenaan oleh JPN.
Advertisement

PUTRAJAYA: Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan lapan syor penambahbaikan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memperkukuh tatakelola pengurusan pemberian kontrak sewaan lot kedai, gerai dan kios di peringkat negeri serta Wilayah Persekutuan.

Syor itu ialah hasil penyiasatan tatakelola BPT SPRM yang memberi tumpuan terhadap pengurusan pemberian kontrak sewaan ruang berkenaan oleh JPN.

“Antara syor yang dikemukakan ialah mengeluarkan serta menambah baik mekanisme, sistem dan prosedur berkaitan permohonan bertulis kepada pengurus bangunan Kementerian Dalam Negeri bagi penyewaan ruang pejabat kepada pihak ketiga.

“Ia turut meliputi permohonan kebenaran pengubahsuaian, penyediaan perjanjian bertulis yang sah bagi penyewaan ruang pejabat JPN kepada pihak luar dan pelaksanaan tapisan keselamatan terhadap latar belakang pekerja swasta di kios pejabat JPN,” menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, BPT SPRM mencadangkan supaya nilai sewaan ruang di bawah JPN Negeri kepada pihak luar ditetapkan dengan mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

SPRM turut mencadangkan pelaksanaan proses pembidaan secara telus serta terbuka melalui Kelab Majlis Kebajikan, Kebudayaan dan Riadah Kebangsaan JPN Kuala Lumpur dalam pemilihan penyewa.

“Syor itu juga merangkumi pemantauan dan penetapan harga produk serta perkhidmatan pada kadar berpatutan bagi menjaga imej JPN selain memastikan urusan perniagaan dilaksanakan mengikut amalan yang wajar tanpa menjejaskan operasi harian pejabat JPN Negeri dan ibu pejabat JPN,” menurut kenyataan itu.

Kesemua syor berkenaan dibentangkan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola Perolehan BPT SPRM Teh Chong Earn di Kamar Sidang Terbilang, Ibu Pejabat JPN di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPN Muhamad Ghazali Mamat@Mansor menyambut baik lapan syor berkenaan dalam usaha memastikan amalan tadbir urus yang lebih telus, bertanggungjawab dan seragam.

Pada sesi itu, beliau menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola bersama dengan Timbalan Pengarah II BPT SPRM Norazlina Abd Rahim.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement