Skip to main content

Dunia

Keputusan ICJ bakal pinggirkan Myanmar, rumitkan krisis kemanusiaan - Pemerhati

Keputusan terbaharu itu boleh membawa implikasi serius kepada Myanmar yang masih bergelut dengan kesan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, yang menyebabkan negara itu terasing daripada masyarakat antarabangsa. - Gambar fail
Keputusan terbaharu itu boleh membawa implikasi serius kepada Myanmar yang masih bergelut dengan kesan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, yang menyebabkan negara itu terasing daripada masyarakat antarabangsa. - Gambar fail
Advertisement

PHNOM PENH: Mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan bahawa Myanmar bersalah melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, dengan pemerhati memberi amaran bahawa keputusan itu boleh menyebabkan kerajaan yang disokong tentera negara berkenaan semakin terpinggir dan krisis kemanusiaannya semakin sukar diselesaikan.

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis menyatakan bahawa "operasi pembersihan" Myanmar terhadap etnik Rohingya pada 2017 merupakan tindakan genosid.

“Keputusan ICJ ini bersejarah tetapi akan merumitkan peralihan politik dalaman Myanmar dan meningkatkan pemencilan kerajaan tentera negara itu. Keputusan itu perlu dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan PBB, namun China dan Rusia berkemungkinan menggunakan kuasa veto terhadap cadangan berkenaan,” kata Anil Wadhwa, bekas Setiausaha (Timur) di Kementerian Hal Ehwal Luar India dan bekas duta ke Thailand, Oman, Poland serta Itali, kepada Bernama pada Jumaat.

Advertisement

"Keputusan ini dibuat pada masa yang tidak sesuai dan tidak dapat dikuatkuasakan, serta tidak akan membawa manfaat kepada sesiapa. Ia akan merumitkan lagi usaha ASEAN untuk mengadakan libat urus dengan Myanmar," tambahnya.

Selepas prosiding selama tujuh tahun, ICJ menerusi keputusan undian 9-6 mendapati Myanmar bersalah melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di utara Negeri Rakhine, sekali gus melanggar Konvensyen Genosid.

Advertisement

Keputusan terbaharu itu boleh membawa implikasi serius kepada Myanmar yang masih bergelut dengan kesan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, yang menyebabkan negara itu terasing daripada masyarakat antarabangsa, termasuk ASEAN yang sejak itu mengambil pendirian menjauhkan diri daripada Myanmar.

Negara Asia Tenggara itu juga masih belum pulih daripada gempa bumi dahsyat pada Mac 2025 yang memusnahkan sebahagian besar infrastrukturnya dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi.

Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di dalam Myanmar sejak rampasan kuasa itu telah melebihi empat juta orang setakat Oktober.

Walaupun hubungan tegang, ASEAN sejak beberapa tahun kebelakangan ini berusaha mengadakan libat urus dengan kerajaan Myanmar bagi melaksanakan pelan damai Konsensus Lima Perkara (5PC), terutamanya untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terperangkap di kawasan dilanda krisis.

Min Aung Hlaing, yang menjadi presiden pada April 2026, merupakan Panglima Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw) ketika operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya pada 2017.

Sejak memegang jawatan itu, beliau berusaha menjalinkan hubungan lebih erat dengan kerajaan serantau dan antarabangsa, namun keputusan ICJ berkenaan boleh menjejaskan usaha diplomatik tersebut.

"Dengan keputusan ICJ ini, usaha Presiden Min Aung Hlaing untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap kedudukannya di peringkat global kini mengalami tamparan hebat.

"Keputusan ini sememangnya menjejaskan usaha perdamaian secara beransur-ansur antara Myanmar dan ASEAN," kata Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan ASEAN, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Phar Kim Beng kepada Bernama.

Sejak tindakan keras tentera pada 2017, kira-kira 1.2 juta etnik Rohingya yang kehilangan tempat tinggal kini menetap di Bangladesh, terutamanya di kem pelarian di Cox's Bazar berhampiran sempadan Myanmar, menurut laporan media.

Ketika keputusan itu diumumkan, perang saudara berpanjangan antara tentera kerajaan dan kumpulan etnik bersenjata masih berterusan di beberapa kawasan di Myanmar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement