Skip to main content

Malaysia

Dua lelaki China ditahan bergaduh guna senjata di Cheras

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan sekumpulan individu bergaduh di hadapan sebuah kedai serbaneka pada Jumaat. -Foto Sinar Harian
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan sekumpulan individu bergaduh di hadapan sebuah kedai serbaneka pada Jumaat. -Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki warga China disyaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata di Taman Connaught, Cheras awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Rosdi Daud berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berpunca daripada perselisihan faham berkaitan parkir kenderaan di hadapan sebuah kedai serbaneka melibatkan beberapa lelaki kira-kira 4 pagi tadi.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis berjaya menahan dua lelaki warga China berusia lewat 20-an dan awal 30-an di kawasan Taman Len Seng kira-kira sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Advertisement

Rosdi berkata kedua-dua lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan muka, serta telah dibawa untuk mendapatkan rawatan. 

Beliau berkata semakan awal rakaman kamera litar tertutup mendapati beberapa individu lain turut terlibat dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai batang besi.

Advertisement

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah sebelum diperintahkan reman selama empat hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. 

“Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, video pergaduhan itu tular di media sosial sejak pagi tadi, memaparkan beberapa individu saling bergaduh sehingga menyebabkan seorang daripada mereka terbaring akibat kecederaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement