CARBIS BAY: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson memaklumkan keputusan sama ada tempoh sekatan di seluruh England dilanjutkan atau sebaliknya akan diumum esok.

Malah jelasnya, ketika ini kerajaan sedang meneliti data sedia ada berkenaan perkembangan COVID-19 dalam negara.

"Apa yang pasti ketika ini adalah kami sedang meniliti data sedia ada. Segala keputusan akan diumumkan pada Isnin.

"Aturan yang telah ditetapkan sebelum ini diambil dengan mengambil kira segala kemungkinan dan tidak boleh ditarik balik," katanya.

Jelas Johnson dalam memastikan aturan yang selamat, kerajaan akan terus meniliti segala aspek dan mengumumkan setiap langkah yang diambil.

Pada Jumaat UK mencatatkan jumlah kes harian tertinggi sejak Februari lalu kebanyakannya melibatkan varian Delta.

Varian ini dilaporkan menular 40 peratus lebih pantas berbanding varian lain dan menyebabkan 90 peratus jangkitan baharu di negara berkenaan.

Namun, kadar rawatan di hospital dan kematian masih lagi rendah di UK.