LONDON: Pengurangan lanjut kos bahan api dan penangguhan kenaikan cukai karbon diumumkan oleh Perdana Menteri Ireland Micheal Martin selepas mesyuarat Kabinet bersetuju mengenai respons terhadap krisis bahan api susulan protes besar-besaran, lapor PA Media/dpa.
Pakej yang diumumkan pada Ahad itu bernilai kira-kira €505 juta (AS$592 juta), sebagai tambahan kepada langkah bernilai €250 juta (AS$293 juta) yang diumumkan hampir tiga minggu lalu.
Advertisement
Protes termasuk sekatan di satu-satunya kilang penapisan minyak Ireland dan depoh-depoh utama lain menjejaskan pengedaran bahan api di seluruh negara dan mendorong tindak balas polis, yang mengakibatkan beberapa tangkapan ekoran pertempuran antara unit keselamatan dan penunjuk perasaan.
Peserta protes yang sebahagian besarnya diketuai oleh pengusaha pengangkutan, petani dan pekerja sektor pertanian memulakan tindakan berasingan tetapi terancang pada Selasa, termasuk konvoi bergerak perlahan, pemberhentian penuh di lebuh raya utama dan sekatan ke atas infrastruktur kritikal, yang sebahagian besarnya mula reda menjelang tengah hari Ahad.
Penunjuk perasaan menggesa kerajaan Ireland supaya mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kos bahan api yang menurut mereka sudah berada pada paras tidak mampan dan boleh menyebabkan ramai gulung tikar.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa