NEW DELHI: Parti-parti pembangkang India mengadakan perhimpunan di ibu negara, New Delhi pada Ahad bagi membantah dakwaan pengguguran nama pengundi daripada daftar pemilih di seluruh negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
New Delhi menyaksikan protes besar-besaran susulan laporan pada September bahawa dua pesuruhjaya pilihan raya telah menyuarakan kebimbangan kepada Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya Gyanesh Kumar berhubung keputusan berkaitan penyemakan daftar pemilih di beberapa negeri dan wilayah persekutuan.
Penunjuk perasaan mendesak Kumar meletak jawatan.
Pada Ahad, ribuan orang menghadiri perhimpunan protes di Ramlila Maidan, New Delhi, dengan parti pembangkang utama, Kongres, menyatakan bahawa "apabila demokrasi diserang, berdiam diri bukan satu pilihan".
Pemimpin daripada blok pembangkang INDIA turut menyertai protes pada Ahad.
Pakatan INDIA yang dianggotai sejumlah parti pembangkang mengumumkan akan mengadakan lebih banyak protes berhubung isu itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah melaksanakan proses penyemakan intensif khas (SIR) terhadap daftar pemilih di beberapa negeri.
Pembangkang mendakwa sejumlah besar nama pengundi telah digugurkan daripada daftar pemilih, namun dakwaan itu dinafikan pihak berkuasa.
Mengulas perhimpunan berkenaan, parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) menyifatkannya sebagai "konspirasi yang disengajakan untuk menjerumuskan negara ke dalam keadaan anarki atas nama demokrasi".
"Ini merupakan sandiwara bodoh yang dirancang dengan teliti oleh mereka yang telah kalah dan berulang kali ditolak oleh rakyat, sesuatu yang difahami dengan jelas oleh orang ramai," kata Menteri India yang juga pemimpin kanan BJP, Jagat Prakash Nadda, pada Ahad.
-- BERNAMA-ANADOLU