SEOUL: Kerajaan Korea Selatan sedang berusaha untuk mengadakan rundingan pertama dengan kumpulan doktor tempatan di negaranya yang melakukan mogok kerja sebagai bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk menambah sekolah perubatan.

Negara itu memberi masa sehingga Jumaat, memandangkan tugas-tugas yang menanti kumpulan doktor berkenaan sudah lama tergendala atau mereka akan berdepan dengan hukuman.

Kerajaan juga tidak teragak-agak untuk menangkap dan mendakwa doktor-doktor yang enggan mematuhi perintah kerajaan dan sedang menimbangkan untuk menggantung lesen doktor yang terlibat.

Kementerian Kesihatan dan Kebajikan berkata bahawa pihaknya mahu mengadakan perbincangan susulan tindakan mogok oleh 9,000 doktor pelatih.

Tindakan berkenaan telah menyebabkan pengurangan kira-kira 50 peratus doktor di bilik pembedahan dan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan.

Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Lee Sang-min dalam mesyuarat kerajaan merayu agar semua doktor yang terlibat menamatkan tindakan mereka.

Beliau berkata banyak kes pesakit terdesak terpaksa menunggu lama untuk dibedah.

Tidak ada petunjuk setakat ini adakah doktor-doktor yang mogok akan menerima permintaan kerajaan.

Kerajaan yang ditadbir Presiden Yoon Suk Yeol berpegang teguh pada rancangannya untuk menambah 2,000 lagi buah sekolah perubatan daripada 3,058 buah jumlah semasa bagi mengatasi kekurangan doktor di Korea Selatan untuk menangani demografi negara yang semakin menua.

Dalam masa yang sama kerajaan Korea turut menunjukkan kesediaan untuk membincangkan kebimbangan doktor berkenaan isu gaji rendah untuk pelatih dan penyelewengan.

Kumpulan pelobi terbesar untuk doktor mendesak kerajaan membatalkan rancangan berkenaan kerana langkah itu tidak akan memperbaiki kelemahan asas seperti kekurangan pakar dalam bidang tertentu yang dilihat sebagai bayaran yang lebih rendah.

Kira-kira 20,000 doktor dijangka hadir dalam tindakan mogok besar-besaran Ahad ini.