Skip to main content

Dunia

Kerajaan Switzerland umum bayaran solidariti kepada mangsa kebakaran bar Crans-Montana

Roze, who was injured in the deadly fire at ''Le Constellation'' bar on New Year's eve, lays down flowers in front of the bar during a ceremony with relatives to commemorate the victims, in Crans-Montana, Switzerland, Saturday, Feb. 14, 2026. (Alessandro della Valle/Keystone via AP)
Roze, yang cedera dalam kebakaran tragis di bar Le Constellation pada malam Tahun Baharu, meletakkan bunga di hadapan bar tersebut ketika upacara bersama ahli keluarga bagi memperingati para mangsa di Crans-Montana, Switzerland. - Foto AP

BERN: Kerajaan Switzerland mengumumkan bayaran segera sebanyak 50,000 franc kepada setiap mangsa yang tercedera serta keluarga 41 individu yang terkorban dalam tragedi kebakaran di sebuah bar di pusat peranginan ski Crans-Montana pada malam Tahun Baharu.

Langkah itu digelar sebagai sumbangan solidariti dan bertujuan memberi bantuan kewangan pantas kepada komuniti yang masih bergelut dengan kesan tragedi tersebut.

Advertisement

Menurut Majlis Persekutuan, bayaran ini melengkapi bantuan kecemasan 10,000 franc yang lebih awal disalurkan oleh kerajaan kanton Valais.

Siasatan awal mendapati kebakaran di bar Le Constellation tercetus apabila percikan api daripada pemetik hiasan pada botol champagne menyambar bahan kalis bunyi di siling ruang bawah tanah, ketika itu sesak dengan pengunjung.

Kebanyakan mangsa adalah remaja, termasuk lapan di bawah umur 16 tahun.

Lebih 100 orang cedera, dan sehingga kini puluhan masih dirawat kerana luka melecur yang serius.

Kerajaan persekutuan turut bersedia memperuntukkan sehingga 20 juta franc bagi membantu proses penyelesaian luar mahkamah antara mangsa, pihak berkuasa dan syarikat insurans, usaha yang diharapkan dapat mempercepatkan pampasan tanpa litigasi berpanjangan.

Presiden Switzerland, Guy Parmelin, menegaskan komitmen kerajaan untuk mencari kebenaran dan memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, kerajaan “ingin mengetahui bagaimana insiden ini berlaku, mengapa ia terjadi dan bagaimana ia sepatutnya dapat dielakkan.”

Pihak berkuasa tempatan sebelum ini mengakui bar tersebut tidak menjalani pemeriksaan keselamatan kebakaran selama lima tahun.

Pemilik bar, Jacques dan Jessica Moretti, kini berdepan tuduhan termasuk kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan.

Tindakan undang-undang turut diambil terhadap ketua keselamatan awam perbandaran dan bekas pemeriksa keselamatan kebakaran.

 

 

 

Must Watch Video